JOHOR BAHRU – Kejayaan dan pencapaian yang dikecapi Kelab Bolasepak Darul Ta’zim (JDT) sejak 2013 hingga kini diiktiraf apabila disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Sijil MBOR bagi pencapaian Kelab JDT itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong kepada Pemilik Kelab JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu majlis di Hotel Thistle di sini hari ini.
Pengiktirafan kepada Kelab Bolasepak JDT itu diberikan atas kejayaan dan pencapaian menjadi pasukan pertama di Asia Tenggara yang memenangi Piala AFC pada tahun 2015.
JDT juga menjadi pasukan pertama dalam negara yang muncul juara Liga Super untuk empat musim berturut-turut bagi tahun 2014, 2015, 2016, 2017 selain berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super di Stadium Larkin sepanjang lima musim berturut-turut bagi tahun 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017.
Sijil MBOR itu juga diberikan kepada JDT atas kejayaan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan Liga Super bagi musim 2016. – MalaysiaGazette