Home Utama Kementerian Sumber Manusia jangan bisu isu larangan bertudung

Kementerian Sumber Manusia jangan bisu isu larangan bertudung

Mohammed Shafie Mammal (tengah) sambil diiringi Ketua Aktivitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nazim Johan (dua kanan), Presiden WAFIQ, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar (dua kiri), Setiausaha Kewangan MTUC, Mohd Affendy Abdul Ghani (kanan) dan Exco Hal Ehwal Wanita Persatuan Kebajikan Serantau Muslim, Nurul Syuhadah Shuib pada sidang media isu larangan pemakaian tudung hotel di Hotel Federal Kuala Lumpur, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia diminta tidak mengambil pendekatan ‘peluk tubuh’ sahaja berhubung isu larangan pemakaian tudung dalam kalangan pekerja hotel yang hangat diperkatakan sejak tahun lalu.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabanga Malaysia (Uni-MLC) Datuk Mohamed Shafie Mammal berkata, sikap membisu kementerian itu seolah-olah mencari jalan selamat tanpa satu penyelesaian.

Lantaran itu, Uni-MLC menggesa Kementerian Sumber Manusia mengadakan mesyuarat tergempar dalam masa dua minggu ini bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

“Kementerian tidak boleh terus senyap dan hanya bercakap di surat khabar sahaja. Jumpa kita buat mesyuarat tergempar dan jangan hantar orang bawahan, menteri sendiri kena jumpa kita,” katanya.

Terdahulu Mohamed Shafie bersama-sama beberapa badan bukan kerajaan mengadakan sidang media untuk memastikan isu larangan pemakaian tudung pekerja-pekerja hotel tidak lenyap begitu sahaja.

Antara yang hadir ialah Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, wakil dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Affendy Abdul Gani, Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAQIF) Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar dan Exco Hal Ehwal Wanita Persatuan Kebajikan Serantau Muslim Nurul Syuhadah Shuib.

Beliau turut mendesak kementerian tersebut menyerbu hotel yang menguatkuasakan larangan itu sebagai salah satu prosedur operasi standard (SOP).

“Kementerian perlu serbu (hotel) jangan mengambil langkah selamat kerana ia hanya membangkitkan sentimen kemarahan orang ramai,” jelasnya.

Tambah Mohamed, menteri-menteri besar dan mufti di seluruh negara juga perlu memberi amaran keras terhadap hotel-hotel yang menindas pekerja-pekerja wanita Muslim.

“Menteri besar ni kita minta campur tangan juga, mereka pun berkuasa. Jangan diam,” tambahnya.

Nadzim dalam pada itu memberi amaran untuk melakukan demonstrasi di semua hotel yang mendakwa larangan itu adalah sebahagian daripada SOP yang disifatkan sebagai tidak wajar.

Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga perlu berganding bahu bersama-sama dalam bantahan ini dengan menarik semula sijil halal hotel terlibat.

“Kita nak anjurkan piket dan paling jelas kita mahu Jakim tarik sijil halal mana-mana hotel kurang ajar,” ujar beliau sambil mengajak semua pihak boikot hotel yang menindas para pekerjanya.

Sementara itu, Nurul Syuhadah pula mencadangkan melakukan pindaan Akta Kerja 1995 yang bakal etika berpakaian orang Muslim dalam Perlembagaan Persekutuan. -MalaysiaGazette