KUALA LUMPUR – Kestabilan politik merupakan teras bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia secara berterusan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Justeru, tegas beliau, Malaysia yang berada di fasa menjelang pilihanraya umum ke-14 (PRU-14) ini, amat memerlukan kerajaan kukuh yang hanya mampu diterajui oleh sebuah parti politik yang berpengalaman.
“Bahang politik itu sememangnya dijangkakan dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang ini. Oleh itu, situasi politik yang stabil itu pada akhirnya dapat diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi yang baik,” katanya pada Taklimat Penyelidikan Global Standard Chartered 2018 di sini, hari ini.
“Mereka (pembangkang) merancang untuk memperkenalkan semula subsidi yang biarpun popular namun boleh menjejaskan ekonomi,” tegasnya.
Mengulas peningkatan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini, Abdul Rahman berkata, ia bersandarkan kepada asas-asas ekonomi yang terbukti berjaya.
Malah, ini tidak hanya terbukti menerusi pencapaian ringgit tetapi juga peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang melebihi jangkaan.
“Kita (kerajaan Barisan Nasional) memiliki dasar-dasar yang stabil dan konsisten dan ini sudah pasti akan diteruskan jika kerajaan sama dapat terus memerintah,” katanya.
Setakat jam 9 pagi ini, ringgit berada di paras 3.9010/9040 berbanding dolar AS daripada 3.9110/9140 sewaktu ditutup pada Rabu.
Mengulas paras hutang negara, Abdul Rahman berkata, ia masih terkawal kerana di bawah 55 peratus daripada had ditetapkan.
Kita melabur dalam infrastruktur yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di masa depan. KDNK terus mencatat pertumbuhan, ekonomi kukuh dan paras hutang juga berkembang namun ini terkawal kerana disokong oleh asas-asas ekonomi yang mantap,” katanya.
Setakat akhir September 2017, paras hutang negara berjumlah RM687.43 bilion. – MalaysiaGazette