Home Nasional Ambil balik tanah Felda bukan sandiwara

Ambil balik tanah Felda bukan sandiwara

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendengar soalan daripada seorang tetamu yang hadir pada Wacana Ekonomi bersama Industri Muzik dan Kreatif Malaysia di Finas, Kompleks Studio Merdeka, Jalan Hulu Kelang, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2018

HULU KELANG – Pengambilan semula tanah Felda di Jalan Semarak bukan sandiwara seperti yang didakwa Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli.

Sebaliknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, tindakan pengerusi syarikat tersebut, Tan Sri Shahrir Samad yang mengutamakan pengambilan semula tanah terbabit adalah demi kepentingan tanah Felda sebelum ia tergadai kepada lain.

“Sandiwara? Saya ni menteri ekonomi, dia selalu kata angka kita salah, untuk saya percaya pada Rafizi, saya kena panggil World Bank, IMF yang mereka ni semua bodoh barulah saya boleh percaya Rafizi.

“Dalam soal ini keutamaan Perdana Menteri adalah ambil tanah lepas itu kita tengok balik dan kita takut dia nak jual ke apa, kita harus selematkan tanah itu dulu, yang penting ambil dulu, rakyat dah marah, PM dah kecewa.

“Sebab bukan Felda sahaja akan terkesan sekarang ni, jawatankuasa pelaburan pun dah faham yang kerajaan ni serius bukan main-main,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Wacana Ekonomi bersama Industri Muzik Kreatif Malaysia di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebentar tadi.

Tanah milik Felda yang bernilai RM270 juta kembali mencetuskan kontroversi apabila Shahrir mendedahkan penukaran hak milik tanpa membabitkan sebarang pembayaran.

Felda mendapat semula tanah di Jalan Semarak selepas satu perjanjian persefahaman ditandatangani dengan Synergy Promenade Sdn Bhd. (SPSB).

Abdul Rahman menambah, Rafizi hanya mahu mempolitikkan isu yang dilihatnya sebagai peluang untuk memburukkan kerajaan.

“Untuk saya percaya, Rafizi ni ahli politik kita nak bincang perkara serius, sampai isu ini pun nak dipolitikkan, kita buat semua ni bukan kerana Rafizi,”  jelasnya.

Susulan daripada kejadian baru-baru ini Rahman mengingatkan agar semua barisan hadapan Felda serius dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas pada masa akan datang.

“Lembaga Pengarah Felda jangan lagi main-main, jangan leka dengan kerja, jadi sekarang kena berjaga-jaga,” tambahnya. -MalaysiaGazette