Home Nasional MRSM untuk anak PDRM hafal al-Quran akan dibuka

MRSM untuk anak PDRM hafal al-Quran akan dibuka

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) akan dibuka di Bagan Datuk dengan keutamaan kemasukan diberi kepada anak pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, MRSM itu akan menjadi sekolah ulul albab yang mengutamakan pengajian al-Quran dan hafazan.

“Sekolah ini akan mempunyai silibus ulul albab imtiyaz untuk menjadikan anak-anak pegawai dan anggota PDRM sebagai seorang huffaz yang hafal al-Quran,” katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas sebelum majlis makan tengahari di Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, hasrat itu adalah untuk melihat anak-anak anggota pasukan PDRM menjadi seorang profesional yang mampu menghafal 30 juzuk al-Quran.

“Kita perlu masuk syurga kerana anak-anak yang huffaz akan membawa tujuh ahli keluarganya atau sesiapa yang didoakan untuk sama-sama masuk syurga,” ujarnya.

Katanya, beliau memberikan penekanan terhadap perkara itu kerana ia perlu diperjuangkan semasa masih ada hayat.

Ahmad Zahid turut mengharapkan agar usaha itu tidak terbatas bukan kerana mereka sebagai seorang pegawai dan anggota polis sebaliknya, ia kerana Allah.

“Mudah-mudahan Allah permudahkan apa yang dilakukan kerana kita melakukannya dengan niat yang baik,” katanya. – MalaysiaGazette