KUALA LUMPUR – Atlet cemerlang serta penuntut terbaik Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) akan diberikan imbuhan sebanyak RM1,000 dalam bentuk Skim Persaraan Swasta (PRS) dalam masa terdekat.
Imbuhan yang diumumkan Kementerian Belia dan Sukan itu akan diberikan kepada atlet yang merangkul pingat pada kejohanan antarabangsa sementara pelajar IKBN yang layak pula mesti memperoleh keputusan cemerlang dan di bawah usia 30 tahun.
Jumlah itu sekaligus menjadikan kedua-dua kategori menerima keseluruhan RM2,000 iaitu tambahan RM1,000 menerusi Insentif Belia PRS yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau begitu teruja dan memandang serius isu masa depan belia dalam tempoh 30 tahun akan datang.
Menurutnya, insentif untuk golongan muda yang berusia antara 20 hingga 30 tahun senada dengan pelan persaraan generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) selain mengelak mereka bergantung kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semata-mata kerana jangka hayat di negara ini semakin meningkat.
“Kami mendapat laporan daripada KWSP baru-baru ini yang mengatakan majoriti daripada akaun KWSP hanya mempunyai nilai RM50,000 ke bawah saja.
“Data kita juga menunjukkan hampir 90 peratus pencarum KWSP tidak mempunyai cukup wang untuk hidup dalam masa lima tahun selepas bersara.
“ Apabila jangka hayat kita meningkat sehingga usia 90 tahun, 30 tahun lagi apa kita akan buat sekiranya simpanan yang kita ada hanya untuk jaminan untuk lima tahun? Kerana itu, saya amat menyokong pelan simpanan selain daripada KWSP,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan TN50 PRS Untuk Belia bertema ‘Simpanan Permulaan Untuk Masa Depan’ di ibu pejabat SC, Bukit Kiara, di sini hari ini.
Antara lain yang turut hadir, Pengerusi SC, Tan Sri Ranjit Ajit Singh dan Pengerusi PPA, Datuk Zaiton Mohd Hassan.
Tambah Khairy, usaha Pentadbir Pencen Swasta (PPA) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk mempromosikan PRS sebagai satu skim simpanan sukarela selain daripada simpanan hari tua di KWSP adalah langkah jaminan masa depan yang lebih cerah.
“Saya sendiri telah bertemu dengan hampir dua juta belia sama ada melalui pertemuan secara langsung atau alam maya, rata-rata mereka sebenarnya mengimpikan masa depan yang lebih baik pada masa hadapan. Mereka sangat bimbang tentang pelbagai perkara dan aspek.
“Langkah kerajaan dalam memastikan pelbagai jenis inisiatif dan pelan masa depan tertamanya untuk hari-hari tua menunjukkan keprihatinan untuk kehidupan yang lebih baik.
Kata beliau, ada beberapa aspirasi yang diperoleh itu boleh dilaksanakan segera tanpa perlu menunggu lama hingga 2050.
“Sejak dua minggu lalu, saya sudah melancarkan beberapa aspirasi berkaitan antaranya aplikasi tapisan Internet dan lokasi tempat kerja masa depan,” katanya.
Sementara itu, Khairy menyeru belia yang sudah layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak untuk menggunakan hak mereka sepenuhnya untuk memilih kerajaan serta mengelak melakukan undi rosak.
Jelasnya, golongan belia tidak seharusnya terpengaruh dengan beberapa kempen berniat jahat oleh segelintir pihak seperti kempen #undirosak yang sedang giat dijalankan dalam laman sosial ketika ini.
“Adalah sangat penting untuk menggunakan hak anda sebagai rakyat Malaysia, ambil peluang dalam proses demokrasi dengan mengundi. Gunakan sebaiknya hak anda untuk memilih kerajaan yang sah,” tegasnya.
Kempen #undirosak yang begiu viral ketika ini di media-media sosial sejak seminggu lepas dibimbangi akan mempenegaruhi segelintir golongan muda.