KUALA LUMPUR – Hasrat Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) untuk melihat undi pos dimansuhkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak kesampaian apabila desakan mereka bertentangan peraturan sedia ada.
Dalam taklimat pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada petugas media hari ini mendapati undi pos masih dikekalkan, malah ia telah diperluaskan kepada petugas media dan petugas pilihan raya.
Bagaimanapun hanya petugas media yang membuat liputan perjalanan pilihan raya di luar kawasan sahaja layak memohon untuk mengundi secara pos dengan mengisi Borang 1A.
Berdasarkan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos 2003), petugas boleh berbuat demikian dengan mengemukakan permohonan itu melalui majikan masing-masing.
Bagaimanapun desakan Bersih 2.0 sebelum ini yang menuntut 10 penambahbaikan dilakukan SPR sebagai persediaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) telahpun dipenuhi pada 2013.
Antaranya penggunaan dakwat kekal, pengundian awal, membenarkan orang yang dipercayai untuk membantu Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam proses pengundian, pemansuhan proses bantahan dan larangan menarik balik pencalonan pada hari penamaan.
Pada masa ini, terdapat enam kategori layak untuk penggundian secara pos, iaitu anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), petugas pilihan raya, pengamal media, luar negara dan pengundi tidak hadir (PTH).
Dalam taklimat itu juga, SPR turut menyentuh tahap boleh percaya petugas pilihan raya yang dilantik badan itu bagi mengendalikan sesuatu pilihan raya yang sering menjadi mangsa salah faham khususnya pemimpin pembangkang.
Petugas pilihan raya yang dilantik SPR telah dilatih dan merupakan warga masyarakat tempatan di mana mereka dikehendaki menandatangani Borang A (Borang Sumpah Kerahsiaan).
Sekiranya mereka gagal untuk menjalankan tugas dengan jujur dan amanah, petugas pilihan raya terlibat boleh digugurkan jawatan malah boleh didakwa di mahkamah.
Desakan Bersih 2.0 supaya memansuhkan undi pos timbul selepas wujudkan selepas NGO itu meragui tahap keselamatan peti undi yang disimpan di balai polis dan dikhuatiri dimanipulasi untuk memenangkan parti pemerintah.
Pengerusinya, Maria Chin mendakwa pengundian pos semakin tidak telus apabila SPR didakwa menyembunyikan kategori penjawat awam secara awam secara senyap-senyap diwartakan sebagai pengundi pos pada tahun lepas. – MalaysiaGazette