Home Utama Malaysia-India tingkat kerjasama pertahanan

Malaysia-India tingkat kerjasama pertahanan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya Narendra Modi sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India hari ini.?--fotoBERNAMA
NEW DELHI – Malaysia dan India berhasrat meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan termasuk mengadakan eksesais ketenteraan udara bersama dan menangani isu keganasan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, pada pertemuan bilateral dengan rakan sejawatannya. Narendra Modi, kedua-dua negara bersetuju mengadakan latihan ketenteraan udara bersama, khususnya dalam penugasan taktikal pesawat Sukhoi.

Beliau berkata Modi mencadangkan supaya pasukan Tentera Udara India boleh singgah di Malaysia untuk mengadakan eksesais bersama semasa mereka dalam perjalanan balik atau pergi untuk misi sama bersama Australia.

“Saya bersetuju dengan eksesais udara bersama diadakan kerana mereka mempunyai pengalaman dari segi penugasan taktikal pesawat Sukhoi dan juga kita hendak melihat bagaimana mereka boleh bantu dalam penyelenggaraan pesawat Sukhoi,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini.

Najib kini berada di ibu negara India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India yang juga bersempena dengan Hari Republik ke-69 negara itu.

Menurut Najib, kedua-dua negara juga berharap dapat meningkatkan kerjasama antara angkatan tentera laut terutama sekali dalam aspek pertempuran kapal selam.

“Ini kerana mereka ada kapal selam Scorpene yang turut dimiliki oleh Malaysia dan ini menunjukkan kapal selam itu merupakan aset yang terbaik kerana turut dimiliki oleh India yang merupakan antara angkatan tentera laut terbaik.

“Sebab itu bila pembangkang kata kapal selam ini (Scorpene) tak boleh menyelam ini adalah mengarut kerana India pun beli dan banyak negara lain pun beli,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata Modi turut menyatakan minat berhubung program deradikalisasi yang dilaksanakan Malaysia yang mencatat kejayaan tinggi dan menjemput Malaysia untuk menjadi hos bersama untuk menganjurkan persidangan berhubung program tersebut.

Pada pertemuan sama, Najib berkata beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Modi atas kejayaan negara itu mencatat kepesatan ekonomi memberangsangkan serta kejayaan parti pemerintah pimpinan perdana menteri itu, Parti Bharatiya Janata (BJP), yang menguasai 19 daripada 29 negeri di India.

— BERNAMA