KUANTAN – Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah mengakui pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang adalah disebabkan ‘bintang harapan mereka cedera’.
Katanya, sekalipun pemilihan Dr Mahathir mendatangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan sebilangan besar penyokong, barisan kepimpinan cuba membuat keputusan terbaik dalam situasi yang tidak ideal.
“Kita ibarat pasukan bola sepak yang berlatih bertahun-tahun namun apabila hendak masuk permainan, bintang harapan kita cedera atau kita terpaksa bermain dalam keadaan padang tidak elok atau cuaca hujan lebat.
“Ramai yang mahu (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) termasuk saya. Kalau boleh lakukan silap mata Anwar bebas esok dan terus mendapat pengampunan diraja lalu boleh bertanding pilihan raya, sudah tentu kita akan mencalonkan dia,” katanya di hadapan kira-kira 300 orang yang hadir ceramah umum pembangkang di sini malam tadi.
Ceramah itu yang turut dihadiri beberapa pemimpin pembangkang antaranya Teresa Kok dan Fuziah Salleh jelas gagal menarik minat penduduk Kuantan untuk memenuhi kerusi yang disediakan di depan pentas dengan rata-rata yang datang pula memilih untuk ‘mendengar dari jauh’.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pemilihan Dr Mahathir juga dibuat bersandarkan kajian yang mendapati tiga tokoh Melayu yang mendapat perhatian anak muda ialah Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Dr Mahathir dan Anwar.
Ini sekali gus menjadikan gabungan Mahathir-Anwar sebagai gabungan ideal pakatan, katanya.
Anwar yang juga Ketua Umum pakatan itu dijangka dibebaskan daripada penjara pada 8 Jun depan namun peruntukan undang-undang menghalang beliau daripada bertanding pada pilihan raya selama lima tahun selepas dibebaskan. – Bernama