Home Politik DUN Kota Putera perlu menang besar – MB Terengganu

DUN Kota Putera perlu menang besar – MB Terengganu

KUALA LUMPUR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera perlu memastikan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau yang menyifatkan kawasan itu merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Parlimen Besut perlu dikekalkan sebagai simbolik penghargaan rakyat kepada pembangunan yang diberikan parti itu.

“Saya minta Kota Putera memastikan ‘fix deposit’ untuk Parlimen Besut dan sebagai hadiah kepada kerajaan UMNO-BN di negeri dan pusat supaya selepas ini banyak lagi perkara yang dibuat,” katanya ketika berucap di majlis Himpunan Warga Kota Putera di Kompleks YJN.

Dengan pembangunan 10,000 rumah mampu milik yang bakal dibina tahun ini selain pembangunan lain yang kini dalam pertimbangan iaitu Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3), katanya, membuktikan kerajaan pusat tidak meminggirkan negeri itu.

Menurutnya, pengundi Terengganu secara keseluruhannya perlu mengelakkan negeri itu kembali kepada Pas seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU10) dengan meninggalkan kesan buruk yang terpaksa ditanggungnya sehingga hari ini.

“Tandatangan konsesi balak yang dibuat Pas saya yang kena tanggung sekarang, kena tunggu keputusan mahkamah untuk tetapkan bayaran yang perlu dibuat oleh kerajaan negeri.

“Ini yang terpaksa saya tanggung bahana pemimpin Pas yang lalu,” ujarnya yang merujuk kepada saman oleh Syarikat Riyapadu Sdb Bhd (Riyapadu) kerana menamatkan perjanjian penebangan balak di Tasik Kenyir yang ditarik balik ketika Pas memerintah Terengganu sepenggal, 1999 hingga 2004.

Justeru kata Ahmad Razif, kepimpinan BN di Terengganu seharusnya mendapat sokongan padu daripada pengundinya.

“Tidak ada lagi yang terbukti mampu seperti BN yang sudah pasti tidak ada yang boleh cabar walaupun pemimpin kita yang keluar itu biasa sebab mereka ada kepentingan diri. BN tidak ada yang buat demi kepentingan diri tapi mengikut kepentingan rakyat,” tambah beliau.

Terdahulu hampir 1,000 warga DUN Kota Putera yang menetap di Lembah Klang, Putrajaya dan Negeri Sembilan hadir majlis himpunan hari ini bersama-sama Ahmad Razif, wakil rakyat kawasan itu, Mohd Mahdi Musa dan Ahli Parlimen Besut merangkap Menteri Pendidikan, Datuk Seri Idris Jusoh. -MalaysiaGazette