KUALA LUMPUR – Tiada sebarang rundingan antara Barisan Nasional (BN) Terengganu dengan Pas mengenai cadangan kerajaan campuran susulan parti Islam itu didakwa menjadi penentu pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU14).
Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, rundingan itu tidak wujud, sebaliknya pihaknya akan menentang sesiapa sahaja yang akan bertanding dalam PRU14.
“Itu (rundingan) tidak ada, (BN) Terangganu tidak ada, kita kata itu tidak ada, dan kita sekarang ini akan membuat persiapan untuk kita lawan siapa saja
“Kita tak ada kisah. Suntikan (semangat) kita yang ada sekarang ini adalah suntikan 1999,” katanya pada sidang media selepas meraikan hampir 1,000 pengundi DUN Kota Putera dalam Himpunan Warga Kota Putera, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dan veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yusof Noor.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan hari ini yang mengatakan tiada perbincangan dengan mana-mana parti politik untuk menubuhkan kerajaan campuran sama ada BN atau Pakatan Harapan sebelum ataupun selepas PRU14.
Ahmad Razif berkata, BN Terengganu tidak memerlukan kerajaan campuran dengan parti pembangkang untuk membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya.
Sebaliknya beliau berkata, BN Terengganu akan melancarkan semula gelombang biru 2.0 untuk mengembalikan komposisi kemenangan 28:4 sebagai mana yang berjaya dilakukan pada PRU11.
“InsyaAllah kita akan terjemahkan semula gelombang biru 2.0 itu melalui Terengganu Molek Doh,” katanya. – MalaysiaGazette.