KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memanggil Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan berhubung satu perhimpunan yang dianjurkan tanpa notis pada bulan September tahun lalu.
Pengarah Siasatan Jabatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata, polis tidak sesekali melakukan soal siasat terhadap isteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tetapi mengambil keterangan secara profesional dan menghormati kedudukan serta status beliau di negara ini.
“Malah Tun Dr. Siti Hasmah Binti Mohamad Ali sendiri telah membuat kenyataan umum bahawa beliau tidak berhadapan dengan sebarang bentuk intimidasi sepanjang kenyataan beliau dirakam,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, polis merakam kenyataan Siti Hasmah berhubung ucapannya pada himpunan ‘Wanita Bantah Politik Toksik’ pada 10 September 2017.
Anggota polis dari Bukit Aman menyoal siasat Siti Hasmah di bangunan Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur hampir dua jam.
Menurut Wan Ahmad Najmuddin, pihaknya memandang serius kenyataan-kenyataan berbaur hasutan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang cuba menangguk di air keruh kerana Siti Hasmah sendiri bersedia untuk memberi kerjasama dalam melengkapkan siasatan polis.
Katanya, ini adalah sebahagian daripada proses siasatan polis dan tidak melibatkan sebarang bentuk tekanan daripada mana-mana pihak. – MalaysiaGazette