KAJANG – Menjamu selera dengan dikelilingi tumbuhan herba segar dan menghijau cukup menimbulkan suasana yang mengasyikkan.
Ditambah pula apabila sajian yang dihidangkan menyelerakan dan menepati cita rasa.
The Cilantro yang terletak di Jalan Reko, Kajang di sini menyajikan suasana tersebut kepada pengunjung yang inginkan ketenangan ketika sedang menikmati hidangan kegemaran mereka.
Walaupun lokasinya sedikit tersorok bersebelahan Stesen Komuter UKM, pelanggan sudah dapat merasai kesegaran suasana sebaik menjejakkan kaki ke restoran tersebu.
Deretan tumbuhan menghijau yang ditanam di bahagian belakang memang menyuntik mood tenang.
Lebih menarik dengan dekorasi meja dan kerusi serta karpet hijau yang pasti mengusik mata pelanggan.
Pemiliknya, Mohamad Amar Sobri, 30, mengakui idea menampilkan ciri-ciri persekitaran yang santai, eksklusif dan ceria bertujuan untuk pelanggan datang menikmati makan bersama keluarga, rakan dan orang tersayang.
Beliau berkata, restoran yang dikenali sebagai The Cilantro itu telah beroperasi sejak empat bulan itu
Jelasnya, kelainan yang ditonjolkan apabila pengunjung juga dapat melawat taman herba Inggeris yang terdapat di sebelah restoran berkenaan.
“Terdapat tujuh jenis herba yang berasal dari tanah tinggi ditanam di situ dan ia terdiri daripada thyme, rosemary, oregano, mint, lemon balm, basil dan stevia.
“Mereka boleh memetik sendiri daun herba yang digemari dan memasukkan sekali di atas dapur ketika menggril daging kambing dan lembu, sehubungan itu, mereka dapat merasai kesedapan daun daun herba tersebut.
“Setiap jenis herba ini memiliki khasiatnya yang tersendiri,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.
The Cilantro merupakan sebuah restoran berkonsepkan ‘Meets The Herbs’ di bawah EA Inspire Enterprise iaitu syarikat bumiputera yang terlibat dalam pengeluaran produk kambing golek dan daging perapan berempah sejuk beku berjenama The Shepherd.
Bercerita tentang restoran baharu itu Mohamad Amar menerangkan, premis berkenaan mampu memenuhi keperluan untuk 40 tetamu dalam satu-satu masa, namun syarikat bercadang untuk meluaskan kawasan tersebut untuk menambah lebih banyak kerusi dan meja memandangkan permintaan yang semakin bertambah.
“Kami hanya mengambil tempahan sehari lebih awal dan kebanyakan pengunjung datang dari sekitar Lembah Klang termasuk dari Negeri Sembilan dan Melaka.
“Harga promosi yang ditawarkan ialah RM170 untuk hidangan 4 orang dan tambahan harga RM50 untuk dewasa,” ujar jejaka kelahiran Pulau Pinang itu.
Setiap pakej tersebut akan dihidangkan dengan 12 menu yang bermula dengan pembuka selera berupa buah-buahan, diikuti dengan sup cendawan dan roti, pengunjung boleh menyapu roti dan membakarnya di atas dapur yang disediakan di setiap meja.
Selang dalam 10 minit, pengunjung akan dihidangkan dengan menu utama yang terdiri daripada nasi, sup gearbox, perapan daging kambing, lembu dan ayam untuk digril mengikut citarasa sendiri, sayur-sayuran, brocoli butter dan jus segar.
Lebih menarik, pengunjung akan dihidangkan dengan air signatur restoran ini iaitu Honey Thyme Tea.
Pemanis mulut pula dihidangkan aiskrim dan kek pisang.
Mengulas lanjut Mohamad Amar menerangkan, segmen perniagaan restoran ini merupakan pelengkap kepada perniagaan terasnya yang fokus kepada penyediaan kambing golek dan perapan daging kambing dingin beku.
Katanya, sebanyak 100 kambing golek diagihkan kepada rakan niaganya setiap hari khusus di Lembah Klang dan kini telah mengembangkan rangkaiannya ke bahagian Utara.
Selain menyediakan kambing golek dengan pakejnya yang serendah RM800 seekor, pihaknya juga menawarkan perkhidmatan menyewa dapur memanggang kambing pada harga serendah RM150 dan menjual dapur berkenaan kepada mereka yang berminat.
Bagi segmen daging kambing dingin beku pula, syarikat mengeluarkan kira-kira 4,000 pek sebulan untuk agihan ke pasaran seluruh negara.
Satu pek berisi sekilogram daging dan ia ditawarkan pada harga RM40.
Orang ramai yang ini ke sana atau mendapat maklumat lanjut boleh menghubungi talian 0 12-263 3995. – MalaysiaGazette