Home Ekonomi Kakitangan kabin Malindo Air dibenar sertai NUFAM

Kakitangan kabin Malindo Air dibenar sertai NUFAM

KUALA LUMPUR – Malindo Airways bersetuju melonggarkan semua terma untuk membenarkan anak-anak kapal dan pekerjanya menyertai badan kesatuan kerja.

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) berkata, MoU bersama syarikat itu berkuatkuasa serta merta selepas ditandatangani di pejabat Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Shah Alam disaksikan oleh wakil pihak Jabatan Kementerian Sumber Manusia.

Perjanjian ini juga telah membuka ruang besar bagi semua anak kapal Malindo Airways yang selama ini melarang pekerja mereka menyertai badan kesatuan kerja.

NUFAM berkata, klausa larangan dalam terma kerja menyebabkan ramai pekerja Malindo Airways khuatir menyertai mana-mana kesatuan sekerja.

“Perjanjian MoU ini telah menampak hasil apabila JPP dan NUFAM berunding dengan syarikat Malindo Airways supaya kontrak pekerja ini dilonggarkan.

“Sebelum ini kakitangan dilarang menyertai badan pekerja yang sama sekali tidak adil dan melanggar undang undang dalam Akta Kerja 1955 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

“NUFAM telah berunding panjang dengan pihak syarikat dan atas hasil rundingan bersama semua pihak, isu ini akhirnya dapat diselesaikan secara baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

NUFAM menjelaskan, mana-mana syarikat sekali pun tidak boleh melarang kakitangan mereka menyertai badan kesatuan kerja kerana ini adalah hak asasi pekerja itu sendiri.

Tambahnya, kakitangan Kabin Malindo Airways yang menyertai NUFAM mahu kesatuan itu mendapatkan perlindungan isu pekerjaan dan perjanjian kolektif.

Ini kerana, tanpa sebarang perjanjian kolektif bersama (CA), banyak isu dan masalah di tempat kerja akan timbul jika ada perselisihan faham di antara pekerja dan majikan.

Syarikat penerbangan yang lain juga digesa membuka ruang ini segera dan mengikut langkah baik syarikat Malindo Airways agar mereka juga tidak melarang kakitangan mereka menyertai NUFAM.

“Pekerja-pekerja dalam industri syarikat penerbangan perlu ada perjanjian CA agar kerharmonian di tempat kerja dapat dilaksanakan dan dasar hubungan baik antara kesatuan dan pekerja dapat dijalinkan,” katanya. – MalaysiaGazette