Ketuanya, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee berkata, amalan itu juga bertentangan dengan hak dan kebebasan rakyat untuk memilih kerajaan menerusi amalan pilihan raya yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Tindakan pihak berkepentingan melancarkan kempen undi rosak juga menghalang pembentukan sebuah kerajaan yang stabil.
“Kempen ini juga pada hemat saya sebagai salah satu usaha jahat pihak tertentu untuk menyekat kemenangan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya yang dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.
Beliau mengulas mengenai Kempen #UndiRosak yang digerakan pihak tertentu di laman sosial terutama di Twitter bagi tujuan memboikot PRU14.
Kempen #Undi Rosak, #SpoiltVote dan #ProtesPRU yang kini tular menerusi laman sosial mengajak golongan muda agar merosakkan undi pada PRU akan datang.
Penggerak undi rosak itu memberi alasan bahawa tiada beza sama ada BN atau Pakatan Harapan.
Syed Ali berkata, penganjur kempen itu cuba menghalang kemenangan mutlak parti yang bertanding terutama BN supaya kerajaan tidak mempunyai kuasa majoriti.
“Inilah strategi pembangkang untuk melemahkan kerajaan BN di samping menyekat kebebesan rakyat.
“Jelas kempen undi rosak bertentangan dengan kedaulatan demokrasi, kebebasan rakyat dan di luar batas perlembagaan berparlimen di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette.