Home Politik Mana janji Ahmad Yakob – Husam

Mana janji Ahmad Yakob – Husam

Husam Musa
Husam Musa
KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) menagih janji dibuat Datuk Ahmad Yakob yang sedia melepaskan jawatan menteri besar sekiranya hukum hudud masih gagal dilaksanakan di Kelantan pada 2015.

Naib Presidennya, Datuk Husam Musa berkata, sehingga sekarang, Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas masih tidak menunaikan janjinya yang dibuat pada tiga tahun lalu.

“Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob buat satu ucapan, 2015 kalau tak jalan hudud di Kelantan, dia akan letak jawatan menteri besar

“Orang lain tak berani kata, tok guru Nik Aziz tak berani kata, Datuk Ahmad Yakob hebat lebih daripada tok guru Nik Aziz.

“Mana dia janji ustaz Ahmad Yakob nak letak jawatan menteri besar,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.

Ahmad membuat janji itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2017 yang menyatakan beliau sanggup melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan jika masih gagal melaksanakan hukum hudud di Kelantan, pada 2015.

Sebelum ini, Kerajaan Pas Kelantan sudah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) Pindaan 2015, atau hukum hudud dan kisas, sepenuhnya di negeri itu.

Menurut Ahmad, pihaknya hanya menunggu ‘lampu hijau’ selepas Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) bagi Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) diluluskan di Parlimen, sebelum ia dapat dikuatkuasakan di Kelantan.

Husam juga mendakwa, janji yang dibuat oleh Ahmad itu tanpa mengambil kira keadaan politik sebenar di negara ini kerana hukum hudud sukar dilaksanakan di Kelantan tanpa ‘restu’ Dewan Rakyat.

“Ini (janji) hanya satu kenyataan yang dibuat tanpa menghitung keadaan politik yang sebenar.

“Malah beliau membuat komitmen itu semata-mata kerana terpedaya dengan janji-jani manis UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette.