Home Nasional Perbicaraan Skandal Air Sabah ditetap Februari

Perbicaraan Skandal Air Sabah ditetap Februari

Gambar fail: Antara wang dan barangan berharga yang dirampas oleh SPRM

KOTA KINABALU- Mahkamah Seksyen hari ini menetapkan 21,22,23 Februari sebagai tarikh perbicaraan yang melibatkan bekas Penolong Pengarah Jabatan Air Sabah (JAS), Teo Chee Keong yang dituduh melakukan penggubahan wang haram.

Selain Chee Keong, bekas Pengarah JAS, Awang Mohd. Tahir Mohd. Talib, isterinya, Fauziah Piut dan Penolong Pengarah JAS yang telah bersara, Lim Lam Beng akan turut dibicarakan pada tarikh yang sama.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan permohonan pasukan pendakwaan yang mahu perbicaraan serentak dijalankan kerana dakwaan dibuat di bawah pertuduhan yang sama iaitu aktiviti haram dan ketiga-tiga tertuduh berkongsi saksi yang sama.

“Perbicaraan boleh dipercepatkan kerana pihak pendakwaraya akan memanggil saksi yang sama,” katanya.

Kesemua tertuduh dibicarakan di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Anti Penggubahan Wang Haram dan Anti Pembiayaan Keganasan 2001.

Pada Oktober 2016, Chee Keong dan Awang Mohd. Tahir direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan salah laku semasa menguruskan projek infrastruktur air di Sabah.

Pada 13 Disember, Chee Keong minta dibicarakan atas tuduhan melakukan penggubahan wang haram melibatkan jumlah sebanyak RM32.93 juta.

Sementara itu, Awang Mohd. Tahir dan isterinya mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan 31 penggubahan wang haram melibatkan jumlah RM59.1 juta serta memiliki 575 barang kemas dan 346 lagi barangan mewah lain yang diperolehi menerusi aktiviti haram.

Lam Beng pula didakwa melakukan empat penggubahan wang haram yang melibatkan RM2.38juta. – MalaysiaGazette