Home Politik NGO belia bantu BN hadapi PRU14

NGO belia bantu BN hadapi PRU14

Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Mohd Nizam Omar (tengah) bersama Ketua Penerangan 4B Malaysia, Fahami Ashro Badarudin (kiri) serta Ketua Seketeriat Hari Gerakan Belia, Mohammad Nazri Abdul Latiff (kanan) bergambar selepas mengadakan sidang media sempena Hari Gerakan Belia 4B dan Karnival Sukan Muhibab 4B di Mutiara Damansara, Selangor. foto AQIRA AZEMI, 30 JANUARI 2018.

PETALING JAYA – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak mewakili belia seluruh negara sejak 52 tahun akan melancarkan jentera Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk membantu Barisan Nasional (BN) pada 11 Febuari ini.

Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia (GB4B), Mohd Nizam Omar berkata, ‘Belia 4B Sahabat BN’ akan dilancarkan pada 11 Febuari ini semasa acara GB4B dan Karnival Sukan Muhibbah 4B Malaysia di Sepang.

“Pada hari sukan itu nanti kami yang merupakan NGO yang berdiri teguh dengan kepimpinan Barisan Nasional akan melancarkan jentera kami untuk membantu parti itu menjelang pilihan raya,” katanya ketika sidang media.

Jentera itu menurutnya, akan rasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan sekurang-kurangnya 30,000 belia yang hadir pada hari tersebut.

Kali terakhir GB4B mengadakan karnivalnya adalah 12 tahun yang lalu.

Mohd Nizam yang menerajuinya pada April tahun lalu memberitahu, beliau berazam untuk terus mengaktifkan penganjuran karnival pada masa akan datang dan menarik lebih ramai penyertaan generasi muda.

“Karnival ini bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada golongan belia dari akar umbi khususnya dan menerapkan semangat mesra sesama sendiri dan memupuk semangat dan pemikiran inovatif selain mengelakkan aktiviti yang negatif menular di kalangan anak muda pada hari ini,” tambahnya.

Mohd Nizam berkata, pelbagai permainan akan diadakan semasa karnival selama dua hari itu seperti futsal, tarik tali, galah panjang, sepak raga, bowling kelapa, bola jaring dan permainan bola kain sarung. – MalaysiaGazette