Home Politik Dedah kekayaan Azmin, polis rakam percakapan Chegubard

Dedah kekayaan Azmin, polis rakam percakapan Chegubard

Chegubard
Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard

KUALA LUMPUR – Polis sudah mengambil keterangan pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin susulan pendedahannya melibatkan kekayaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Badrul Hisham Shaharin. foto HAZROL ZAINAL, 21 NOVEMBER 2017.

Badrul Hisham atau dikenali sebagai Chegubard berkata, tindakan polis tersebut diambil susulan laporan polis oleh penyokong Azmin ke atas satu posting dalam akaun Facebooknya yang mendedahkan bukti berhubung aset dimiliki Timbalan Presiden PKR itu.

“Saya telah dipanggil oleh pihak polis untuk hadir bagi rakaman percakapan kerana ada beberapa laporan polis telah dibuat oleh pihak Pakatan Harapan berkenaan satu posting facebook saya mendedahkan akaun bank, milikan saham, milikan hartanah dan perbagai harta lain milik Azmin dan isteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu membidas Azmin dan menggesa membuat penjelasan berhubung dakwaan yang didedahkannya dan bukan dengan menggunakan cara menekannya.

“Tindakan ini hanya tindakan bacul. Selaku ahli politik penjawat awam, beliau seharusnya berani tampil membuat penjelasan awam atau saman saya jika ia fitnah bukan berselindung dan menggunakan perbagai cara untuk menekan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Chegubard memberitahu tulisannya dalam Facebook juga sudah disekat yang dipercayai susulan laporan oleh pengikut Azmin supaya maklumat tersebut tidak boleh diakses oleh orang ramai.

“Tidak cukup dengan itu posting saya di Facebook yang menaikkan dokumen berkenaan akaun bank, milikan saham, milikan hartanah dan perbagai harta Azmin dan isteri serta butiran pendedahan sindiket pasir Selangor telah diserang oleh ratusan laporan serentak kepada pengendali Facebook sehingga posting tersebut dipadamkan dan akaun saya digantung,” katanya.

Minggu lalu, Badrul Hisham menyerahkan memorandum setebal 300 muka surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan tindakan beberapa pemimpin PKR melakukan penipuan, rasuah dan salah guna kuasa bagi mendapatkan tender melombong pasir di Selangor.

Beliau turut menyebut nama pemimpin yang terbabit termasuk individu yang rapat dengan Azmin, yang didakwa memungut wang komisyen lebih RM500,000.

Dakwanya, pemimpin PKR melakukan penipuan, rasuah dan salah guna kuasa bagi mendapatkan tender melombong pasir di Selangor dan antara nama yang disebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda mewakili PKR, Shuhaimi Shafiei dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang (PKR), Azmizam Zaman Huri. – MalaysiaGazette