KUALA LUMPUR – Satu jawatankuasa kerja akan diwujudkan untuk menyelaras isu-isu pertindihan tugas kementerian/jabatan/agensi bagi pertubuhan-pertubuhan berdaftar serta kerjasama dari segi pertukaran maklumat antara agensi kerajaan yang mempunyai bidang kuasa mendaftar pertubuhan.
Penubuhan jawatankuasa itu dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan dan Kawal Selia Pertubuhan-Pertubuhan di Malaysia yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, libat urus dengan persatuan/pertubuhan akan diperkukuhkan bagi memastikan pengurusan pertubuhan-pertubuhan di Malaysia diurus dengan lebih efisien serta mengikut perundangan sedia ada.
Sehingga kini, terdapat sejumlah 110,524 pertubuhan berdaftar telah dikenalpasti di bawah bidang kuasa pelbagai kementerian/jabatan/agensi termasuk Kemeterian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertahanan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM). – MalaysiaGazette