JOHANNESBURG – Seorang warga Croatia maut ditembak ketika sedang memburu singa dengan dua orang kawan di Afrika Selatan.
Pero Jelinic, 75, ditembak pada hari Sabtu lalu di ladang Leeubosch Lodge, kira-kira 355 kilometer (221 batu) dari barat Johannesburg.
“Pada peringkat ini, tidak jelas siapa yang melepaskan tembakan hingga menyebabkan Jelinic mati,” kata seorang jurucakap polis.
Seorang rakan Jelinic mendakwa tembakan itu disebabkan kemalangan tetapi polis telah membuka kes pembunuhan.
Jelinic ditembak selepas mereka sudah pun menembak mati seekor singa dan sedang menjejaki singa yang kedua.
Mangsa dikejarkan ke hospital tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.
Polis juga menyiasat sama ada pemburu-pemburu berkenaan menggunakan senjata haram manakala singa berburu dibiakkan dalam tahanan, kata jurucakap polis, Charlize van der Linden.
Kematian Jelinic mula-mula dilaporkan pada hujung minggu tetapi rakannya memberikan butiran lanjut kepada media Croatia tentang apa yang dikatakan berlaku pada hari Sabtu.
Diva Curlic memberitahu news24 kematian Jelinic semasa pemburuan adalah kemalangan – bukan pembunuhan.
Jelinic – dari pulau Pag di Laut Adriatik – adalah seorang pemburu berpengalaman yang mengembara ke seluruh dunia untuk memburu. – MalaysiaGazette