KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dilapor masih lagi meneliti dan melakukan siasatan terhadap status pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP.
Ketua Pengarahnya, Surayati Ibrahim berkata, kelulusan terhadap dua parti itu tergantung susulan terdapat banyak aduan yang diterima daripada pelbagai pihak.
“Masih belum selesai siasatan PPBM dan DAP, aduan banyak. Memang ambil masa.
“Kita akan ambil keterangan daripada semua pihak berkenaan,” jelasnya yang dipetik sebagai berkata.
Bagaimanapun Surayati enggan mengulas lanjut proses siasatan berkenaan.
Bagi tujuan itu, Suriyati dilaporkan berkata, RoS akan memanggil beberapa individu berkaitan bagi mendapatkan keterangan berhubung perkara tersebut.
Mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan Suriyati berkata, siasatan sebelum sebarang keputusan dikeluarkan adalah perlu bagi mengetahui status kedua-dua parti tersebut sama ada dibenar untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atau tidak.
“Tiada kepastian sebab siasatan masih berjalan, ” ujarnya.
Sebelum ini Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik RoS yang didakwa sengaja melambatkan proses pendaftaran PPBM.
Ia menyebabkan ahli-ahli PPBM tidak mengetahui status kesahihan pimpinan kanan serta status parti. – MalaysiaGazette