Home Utama Kopi ‘bahaya’ punca mangsa diserang keletihan melampau

Kopi ‘bahaya’ punca mangsa diserang keletihan melampau

PULAU PINANG – Pejabat Kesihatan Pulau Pinang mengesahkan seramai lima individu menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sejak Sabtu lalu selepas mendakwa meminum sejenis kopi pracampuran.

Bagaimanapun, menurut pengarahnya, Dr. Wan Mansor Hamzah, tiga daripada mereka sudah dibenarkan pulang sejak semalam manakala dua lagi masih dirawat.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, tiada kematian dilaporkan akibat kejadian itu selain tiada laporan pesakit baharu yang dirujuk ke mana-mana hospital negeri ini akibat meminum kopi pracampuran tersebut.

“Dua yang masih dirawat di HPP kini juga berada dalam keadaan stabil dan tiada kematian atau kes baharu dilaporkan kepada kita sejak kes pertama Sabtu lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Media sosial semalam gempar berikutan penularan video beberapa individu yang diserang lelah dan keletihan melampau selepas mendakwa meminum kopi pracampuran dengan sejenis buah di negeri ini.

Berikutan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook mengesahkan kejadian tersebut yang membabitkan beberapa pekerja warga asing berlaku ketika mereka mendapatkan rawatan di HPP.

Tambahnya, warga asing berkenaan mendapatkan rawatan di Bahagian Kecemasan HPP kerana mengalami beberapa simptom antaranya letih dan lemah yang teruk yang mendakwa berlaku selepas minum sejenis kopi.

Ketika ini, Jabatan Kesihatan juga sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan mangsa serta sedang membuat beberapa ujian termasuk ujian darah bagi mengenal pasti punca sebenar.- MalaysiaGazette