Home Nasional Kavadi Saravanan jadi perhatian

Kavadi Saravanan jadi perhatian

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan menarik perhatian ribuan penganut dan pengunjung yang kelihatan terujamelihatnya mengambil kavadi.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan membuat kejutan apabila sekali lagi mengambil ‘kavadi’ selepas berpuasa nazar selama 48 hari di Kuil Sr Subramaniyar, Batu Caves hari ini.

Kavadi besar berwarna warni dan dihiasi cantik dengan Dewa Murugan tersebut turut mendapat perhatian ribuan pengunjung dan masyarakat Hindu yang hadir melakukan upacara sembahyang nazar bagi perayaan Thaipusam pada kali ini.

Mereka bukan sahaja kelihatan teruja melihat seorang ‘Timbalan Menteri’ melakukan upacara mengangkat kavadi malah turut bersama-sama menyebut mantra ‘Om Muruga’ bersama-sama Saravanan dan pengikutnya.

Selain daripada Saravanan, isteri dan anak-anaknya turut dilihat membawa belanga susu ‘paal kuudam’ bersama beliau, turut bersama beberapa pemimpin MIC serta ahli MIC yang di lihat memberi sokongan kepadanya.

Ini juga bukan kali pertama malah pada tahun lepas beliau berdepan dengan kritikan setengah pihak kononnya perbuatan itu adalah gimik beliau.

Bagaimanapun, sumber terdekat beliau mengatakan, hampir setiap tahun, Saravanan yang dipercayai pengikut kuat Dewa Murugan akan berpuasa dan mengambil kavadi sejak kecil lagi.

Menariknya, Saravanan di lihat  senada dengan Pengerusi Sri Mahamariamman Devasthanam, Tan Sri R. Nadarajah yang tidak mempedulikan isu gerhana bulan yang ketika ini masih menjadi kontroversi sebaliknya turut melakukan upacara membayar nazar ketika menjelangnya waktu gerhana bulan petang ini.

Nadarajah juga bertegas untuk tidak menutup kuil seperti kebiasaannya malah akan terus melakukan upacara sembahyang bagi mana-mana penganut yang mahu melakukan upacara dalam kuil tersebut walaupun ketika waktu gerhana yang dijangka bermula pada 7.48 malam dan berakhir pada 11.11 malam ini.

Kelazimannya, masyarakat Hindu dilarang keluar rumah atau makan ketika waktu tersebut malah setiap kuil akan di tutup sehingga tamat waktu gerhana.

Namun pada kali ini, gerhana bulan jatuh pada tarikh Thaipusam dan menyebabkan pelbagai pihak gusar lalu bertindak untuk menutup kuil selepas waktu itu kecuali kuil Sri Subramaniyar Swamy di Batu Caves.

Ahli keluarga dan pengikut Saravanan turut bersama-sama menyokong dan turut bersama-sama bernazar dan membawa ‘paal kudam’
Saravanan merupakan pengikut Dewa Murugan sejak kecil dan dipercayai akan bernazar setiap kali menjelangnya sambutan Thaipusam setiap tahun.
Kavadi yang dihiasi cantik dengan Dewa Murugan menjadi tarikan ribuan terutamanya apabila Saravanan sebagai Timbalan Menteri mengangkatnya.