BUTTERWORTH- Seorang pelajar perempuan yang dituduh mencuri telefon bimbit gurunya, meninggal dunia kira-kira jam 3.30 pagi tadi di Hospital Seberang Jaya, dekat sini.
Gadis berusia 14 tahun itu dimasukkan ke hospital Rabu lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri oleh keluarganya dipercayai cuba membunuh diri akibat malu.
Bedah siasat akan dijalankan pada hari ini sebelum ahli keluarga dibenarkan untuk menuntut mayat mangsa.
Dalam kejadian pada 24 Januari lalu, pelajar tingkatan dua itu didakwa telah dituduh mencuri telefon bimbit gurunya yang hilang di sekolah.
Beberapa jam kemudian, gadis tersebut ditemui tergantung dalam biliknya di dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke unit rawatan rapi akibat kerosakan otak.
Dia sempat menulis sekeping nota mengatakan tidak mencuri telefon bimbit guru berkenaan.
Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, dia tidak mahu menyusahkan lagi keluarganya. – MalaysiaGazette