Home Politik Ratu Naga dipanggil beri keterangan di IPD Petaling Jaya esok

Ratu Naga dipanggil beri keterangan di IPD Petaling Jaya esok

Syarul Ema Rena Abu Samah

KUALA LUMPUR – Seorang aktivis pembangkang, Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah dipanggil hadir ke ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya esok bagi mengambil keterangannya berhubung sebuah video melibatkan isu pengundi warga Bangladesh.

Arahan tersebut dihantar oleh pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini dan sekiranya gagal hadir esok jam 10 pagi satu waran akan dikeluarkan terhadap Syarul Ema.

Syarul Ema sedang disiasat dibawah Bab 3 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Saya tiada di rumah semasa surat arahan tersebut dihantar oleh pegawai SKMM,” kata beliau semasa dihubungi MalaysiaGazette.

Ini bukan kali pertama Syarul Ema disiasat SKMM, pada 2016 pihak polis dan SKMM menyerbu rumahnya dan merampas beberapa bahan bukti berhubung siasatan kes mengandungi fitnah terhadap Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan isteri perdana menteri, Rosmah Mansor.

Beliau didakwa memuatnaik catatan fitnah itu bersama gambar Rosmah dan Najib yang diambil di satu majlis rumah terbuka Hari Raya di Pekan, Pahang. – MalaysiaGazette