Timbalan Perdana Menteri berkata anggota Parlimen Gombak itu mahu mencuba nasib untuk bertanding di kawasan lain pada PRU14 kerana kawasan yang diwakilinya ketika ini menghadapi banyak masalah dan berdepan dengan rungutan penduduk.
“Mungkin orang itu (Azmin Ali) merasakan kawasan sedia ada untuk beliau pertahan akan alami kekalahan sebab itu (dia) cuba nasib di kawasan lain. Saya harap sebelum berniat untuk berpindah kawasan, sila lakukan pembaikan perkhidmatan terutama dari segi kemudahan asas kepada pengundi yang diwakili.
“Saya tahu dia (Azmin Ali) main-main sahaja. Dalam politik ini bukan boleh main-main,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Internet 1Malaysia Kampung Teluk Buluh, Kampung Selekoh dan Pekan Bagan Datuk di sini hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk berkata beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengalu-alukan mana-mana individu yang berniat untuk bertanding sama ada di Bagan Datuk atau di Pekan, Pahang.
Semalam, akhbar tempatan melaporkan Menteri Besar Selangor itu menyatakan beliau sedang mempertimbangkan cadangan untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk yang kini disandang Ahmad Zahid menjelang PRU14 ini.
Bagaimanapun, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata beliau masih menunggu dan perkara itu bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan.
Pada PRU13, Ahmad Zahid memenangi kerusi Parlimen Bagan Datuk dengan majoriti 2,108 undi.- BERNAMA