Home Politik Malu jadi rakyat Malaysia, mana dia punya akal?

Malu jadi rakyat Malaysia, mana dia punya akal?

Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas Datuk Mukhriz Mahathir yang malu mengaku rakyat Malaysia sebagai seorang yang ‘tidak berakal’.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, sebagai seorang rakyat negara ini, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu perlu berbangga bukan memalukan negara dengan kenyataan yang seolah menghina kehormatan negara.

“Yang penting kita sebagai rakyat Malaysia bangga menjadi rakyat Malaysia, jangan ada orang-orang yang ke luar negara konon malu nak sebut kita orang Malaysia.

“Saya tak tahu mana dia letak dia punya akal, nak malu kenapa? Apa salah negara kita?” soalnya semasa menghadiri sambutan Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Titiwangsa di Taman Maluri hari ini.

Baru-baru ini Mukhriz mencetuskan kontroversi susulan kenyataannya dalam satu ceramah di Baling apabila mengatakan malu untuk mengakui dirinya seorang rakyat Malaysia apabila ditanya semasa berada di luar negara.

Jelas Tengku Adnan lagi, tindakan tersebut tidak wajar sama sekali walhal negara luar kagum dengan pencapaian pembangunan dikecapi negara.

Susulan kenyataan Mukhriz tersebut, pelbagai pihak mengecam dan membidas beliau kerana kenyataannya itu disifatkan mencemar nama baik negara.

Bagaimanapun Mukhriz sudah menafikan perkara itu dan bekas Menteri Besar Kedah itu merujuk kepada masalah yang dihadapi negara ini memalukan rakyatnya. – MalaysiaGazette