KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa individu yang bertanggungjawab memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Pengerusi Biro Harmoni Agama MCA, Datuk Seri Li Tian Ker berkata, sebelum menjadi perdana menteri, Mahathir sengaja menjatuhkan maruah orang Melayu melalui buku kontroversinya, Malay Dilema.
“Dengan Cina pula dia kata bangsa itu komunis, anti nasional dan sebagainya. India pula dia pinggirkan. Jadi yang menebalkan semangat dan membeza-bezakan kaum dan agama, dia adalah Mahathir,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Tian Ker, apabila eksploitasi bangsa menjadi terlampau, ia secara tidak langsung menghakis semangat kebangsaan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Katanya, Mahathir merupakan individu yang sebenarnya mengamalkan politik toksik apabila secara senyap meracuni pemikiran rakyat.
“Bila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pentadbiran negara yang telah dirosakkan di zaman Mahathir, dia (Mahathir) telah bersuara agar jangan memberikan mandat 2/3 kepada Abdullah (pada PRU-11),” ujarnya.
Tambah beliau, bermulanya kejatuhan kerajaan hari ini di zaman Tun Abdullah adalah gara-gara kerana sikap yang dimiliki Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu sendiri.
“Apabila Datuk Seri Najib Razak mengambil alih pentadbiran negara banyak masalah beliau cuba selesaikan dengan membawakan visinya dengan slogan 1Malaysia.
“Ia tidak sama dengan apa yang dibawa oleh DAP iaitu Malaysian Malaysia kerana pentadbiran melalui visi 1Malaysia lebih jelas untuk kesejahteraan rakyat di negara ini berbanding apa yang cuba ditonjolkan oleh DAP,” jelasnya.- MalaysiaGazette