Home Politik Perbalahan PH Selangor bukti pembangkang tak sepakat

Perbalahan PH Selangor bukti pembangkang tak sepakat

Ahli Parlimen Titiwangsa merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada Majlis Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Titiwangsa di Taman Maluri, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 03 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Perbalahan secara terbuka antara Parti Amanah Negara (PAN) Selangor dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menunjukkan mereka tidak sepakat.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perbalahan itu bukan suatu yang memeranjatkan kerana mendakwa setiap parti dalam Pakatan Harapan (PH) itu mempunyai agenda berbeza.

“Saya tak terperanjat kalau mereka tak boleh dapat satu kesepakatan kerana ini merupakan parti yang mempunyai agenda berbeza,” kata beliau semasa ditemui wartawan ketika majlis Kenduri 1Wilayah Persekutuan di Taman Maluri hari ini.

Johari yang juga Menteri Kewangan II itu berkata, rakan parti pembangkang tidak boleh duduk lama bersama seperti mana Barisan Nasional (BN).

“Bila ada parti yang mempunyai agenda berbeza, agak sukar untuk kamu dapat kesepakatan bagi tempoh jangka masa panjang.

“Macam BN, kita mempunyai pertalian yang begitu lama, oleh kerana itu antara satu sama lain sentiasa memahami, jadi saya tidak terperanjat kalau mereka tidak kesatuan,” ujarnya lagi.

Mengenai sama ada akan mempertahankan kerusinya di Titiwangsa, Johari menyerahkan kepada pengundi untuk menentukannya sama ada kekal atau tidak.

“Hanya pengundi akan memutuskan sama ada saya akan terus menjadi wakil rakyat mereka disini atau tidak,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Pengerusi PAN Selangor, Izham Hashim menyelar Azmin sebagai ‘joker’ kerana berbohong dalam soal rundingan kerusi PH di negeri itu.

Malah beliau menyifatkan Menteri Besar Selangor itu sebagai tidak layak untuk menjadi Menteri Besar dan Pengerusi PH Selangor kerana mendakwa PAN tidak amanah kerana menafikan jawatankuasa pembahagian kerusi PH di negeri itu sudah ditubuhkan.

Susulan kenyataan tersebut, ia mengundang kemarahan Azmin dan penyokong PKR yang menyifatkan ia suatu tindakan tidak beradab. – MalaysiaGazette

‘Amanah (PAN) tak amanah, pembohong – Azmin