BENTONG – Kebergantungan peneroka tanah rancangan Felda kepada sektor perladangan dan pertanian bakal berubah sekelip mata menjadi industri berteras ekonomi digital apabila konsep bandar pintar terlaksana sepenuhnya menjelang 2050.
Menurut Ketua Peneroka Felda Lurah Bilut, Pahang, Md Zulkifle Md Yunus, 59, penantian masyarakat peneroka hampir 60 tahun kepada pembaharuan bakal tercapai menerusi Lembah Digital yang diperkenalkan dalam Felda 2.0.
Katanya, idea Felda 2.0 yang diilhamkan pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad bakal membuka lembaran baharu dalam sejarah penubuhan tanah rancangan itu bagi menjadi kehidupan generasi akan datang.
“Selama ini peneroka Lurah Bilut mengharapkan satu pembaharuan hampir 60 tahun dari segi perladangan dan pertanian. Generasi seterusnya tak mahu lagi industri komoditi semata-mata.
“Kalau ada pun mesti pertanian moden, bila kita menggunakan teknologi baharu ini, kita mesti pandang jauh di mana kita tak mahu eksport getah semata-mata.
“Kita mahu getah itu jadi satu produk untuk digunakan oleh masyarakat antarabangsa.
“Saya berharap Perdana Menteri dapat meneruskan cita-cita transformasi ini, kalau boleh dibuat di semua tanah rancangan Felda ke arah dunia digital,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, baru-baru ini.
Zulkifle berkata, pengwujudan Lembah Digital di kawasan luar bandar tidak pernah diimpikan selama ini, bahkan transformasi itu banyak memberi kelebihan kepada anak-anak peneroka yang berhijrah ke kota.
“Ramai (anak peneroka) berjaya di luar sana (bandar), Felda 2.0 cuba tarik kembali agar mereka buat di tempat sendiri sekali gus boleh membantu generasi ketiga, empat dan seterusnya untuk menjana pendapatan tinggi.
“Kalau kita tengok sekarang sudah ada internet berkelajuan tinggi, kemudahan riadah dan ia bakal menjadi destinasi menarik untuk menarik kehadiran pelancong,” jelasnya.
Katanya, sebagai pemimpin komuniti itu, dia berharap Perdana Menteri dapat mempertimbangkan agar tanaman selain kelapa sawit dapat diusahakan secara komersial untuk menjana pendapatan sampingan kepada mereka.
“Walaupun ada Lembah Digital, kita mahu peluang mencari pendapatan sampingan pertanian secara kecil-kecilan diberikan, kalau ada lot-lot tanah kosong, diberi kelonggaran untuk buat tanaman lain bagi menjana industri hiliran,” katanya.
Sementara itu, Zulkifle tidak menafikan kehidupan zaman kanak-kanaknya semasa Lurah Bilut baru dibangunkan sangat sukar memandangkan 616 peneroka yang ditempatkan di situ perlu membuka kawasan untuk penanaman kelapa sawit.
Tambahnya, memandangkan hasil tanaman kelapa sawit dan getah hanya membuahkan hasil antara enam ke tujuh tahun, peneroka Lurah Bilut mengusahakan tanaman padi bukit untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Umur saya sekarang 59 tahun, pada awal pembukaan, kawasan ini kehidupan peneroka terlalu susah di mana Lurah Bilut ini perlu diteroka, tiada apa-apa ketika itu, tiada sawit, tiada getah.
“Orang-orang lama dulu mereka menanam padi untuk hidup sementara tanaman kelapa sawit dan getah boleh dituai hampir 10 tahun,” ulasnya.
Katanya lagi, Lurah Bilut jauh berbeza berbanding di awal pembukaan kawasan itu di mana hampir semua infrastuktur asas sudah tersedia di sini.
“Kemudahan sekolah cukup untuk tiga kaum di sini, begitu juga tempat ibadah pun lengkap, sama ada untuk penganut Islam, Hindu dan Buddha.
“Bilut ini boleh dikatakan masa tahun 80-an boleh dikatakan sudah lengkap kemudahanya.
“Kita nampak terlalu cepat perubahan berlaku sebab saya kembali ke Lurah Bilut pada 2005 selepas bersara sebagai anggota polis,” katanya. – MalaysiaGazette