PULAU PINANG – Seramai dua lagi individu menjadi mangsa diserang gejala seperti sawan dan keletihan teruk selepas meminum kopi yang disyaki dicampur dadah di negeri ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dua mangsa itu ialah lelaki warga Bangladesh yang dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini Khamis lalu.
Seorang lagi mangsa, ujar beliau, adalah rakan sekerja warga Bangladesh itu yang merupakan warga tempatan yang dimasukkan ke HPP pukul 2.30 petang kelmarin.
Tambahnya, kedua-dua lelaki berkenaan bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori kepada sebuah syarikat perkhidmatan kutipan sampah di sini.
“Peket kopi itu dijumpai warga Bangladesh di dalam bungkusan ketika memungut sampah sebelum berkongsi dengan rakannya itu.
“Sehubungan itu, kita telah mengarahkan supaya mangsa menyerahkan kopi yang dijumpai itu untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Anuar, kopi yang diminum dua mangsa terbaharu itu adalah daripada jenama sama dalam kes sebelum ini namun berlainan perisa.
Sejak seminggu lalu, seramai tujuh mangsa dikejarkan ke HPP akibat diserang keletihan teruk termasuk pengsan selepas beberapa minit meminum kopi yang dipercayai dicampur dadah.
Dua mangsa merupakan warga Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kawasan komersial yang mendakwa diberikan kopi itu daripada seorang wanita yang tidak dikenali.