Home Politik Dakyah kerajaan tak bantu peneroka Felda hanya cakap kosong

Dakyah kerajaan tak bantu peneroka Felda hanya cakap kosong

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan peneroka Felda ketika hadir pada Majlis Pelancaran Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 04 FEBRUARI 2018.

BENTONG – Penyertaan seramai 10,338 peneroka kembali bernaung di bawah pengurusan Felda membuktikan dakwaan pembangkang bahawa golongan itu dipinggir nyata tidak berasas sama sekali.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, persetujuan bekas peneroka untuk kembali kepada Felda merupakan satu kejayaan besar dalam membela nasib golongan itu.

“Setelah enam bulan pengumuman itu, 93.5 peratus atau 105,294 daripada keseluruhan peneroka Felda bersetuju kembali bermuafakat menjadi peneroka dalam sistem kewangan dan pentadbiran Felda.

“Dengan ini maka dakyah kononnya Felda dan kerajaan tidak bantu, tak menolong para peneroka, jelas sekali cakap-cakap kosong, dakyah semata-mata dan tidak harus diambil kira sama sekali,” katanya berucap merasmikan Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan peneroka Felda ketika hadir pada Majlis Pelancaran Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 04 FEBRUARI 2018.

Beliau berkata, keluarga Perdana Menteri dengan Felda tidak dapat dipisahkan susulan rancangan pertanian itu diasaskan oleh bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

“Setiap kali saya turun ke Felda, saya dapat merasakan satu perasaan bahawa Felda memang dekat di hati dan dekat di mata saya.

“Saya merasakan bahawa saya diberi peluang untuk meneruskan perjuangan yang telah dimulakan pada 1956 oleh Allahyarham ayahanda saya sendiri,” katanya.

Najib juga berkata, perasaan sama turut dikongsikan oleh adiknya, Datuk Nazir Tun Razak yang turut hadir pada majlis transformasi tanah rancangan Felda itu menjadi bandar pintar menjelang 2050.

“Adinda saya, Datuk Nazir sebagai penerusi Yayasan CIMB ada bersama kerana Felda dengan keluarga Tun Abdul Razak tak dapat dipisahkan.

“Ia bukan sahaja roh dan falsafah Tun Razak itu masih hidup, masih membara dalam hati sanubari sepertimana yang disebutkan oleh Tan Sri Shahir Samad tadi The Tun Razak Boys.

“Kami sekeluarga beriltizam apa yang telah dimulakan oleh Allahyarham Tun Razak itu bukan saja diteruskan tetapi akan sampai kepada matlamat dan impian sebenarnya, sebab itu kita melancarkan Felda 2.0 hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette