BENTONG – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperuntukkan RM50 juta bagi menjayakan inisiatif Felda 2.0 di lima tanah rancangan pada tahun ini ternyata memberikan khabar berita bagi warga peneroka.
Lebih membawa makna, bila Najib turut meluluskan kuota ‘Feed-in-Tariff’ tenaga solar dengan jumlah keseluruhan 80 megawatt bagi 16 rancangan pada tahun ini dan tahun hadapan.
Antara yang paling terkesan dengan pengumuman tersebut adalah Ketua Peneroka Felda Lurah Bilut, Mohd Zulkifle Mohd Yunos yang menyifatkan pengumuman tersebut membuktikan penghargaan Perdana Menteri kepada peneroka tidak pernah pudar.
“Jumlah yang diluluskan bukan sedikit. Malah kita semua boleh tengok tadi Najib turut memberi cek insentif tunai bagi pelupusan sebahagian saham FGV yang dibayar kepada peneroka atau waris yang layak.
“ Ini melibatkan peruntukan cukup besar sekaligus menunjukkan Perdana Menteri mengambil berat dengan peneroka. Apa nak lagi?
“ Tak cukup dengan itu seramai 11 ketua peneroka dari 11 Wilayah Felda yang telah lama berkhidmat dan belum pernah menunaikan ibadah haji juga dihantar ke tanah suci.
“Saya cukup terharu dan berterima kasih. Jasa Najib pada kami tak ternilai,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Felda Lurah Bilut, di sini, hari ini.
Pada 2017, peneroka Felda menikmati insentif tunai dan bukan tunai berjumlah RM691.09 juta yang telah dibayar dan direalisasikan.
Insentif Khas Tunai RM5,000 telah dibayar kepada 88,732 peneroka dengan jumlah sebanyak RM443.6 juta.
Selain itu, insentif tunai bagi pelupusan sebahagian saham FGV juga dibayar kepada 2,715 peneroka atau waris yang layak dengan jumlah RM4.94 juta dan RM73.75 juta kepada 94,555 orang peneroka untuk Dividen FGV yang dipegang oleh FELDA serta juga insentif duit raya.
Sementara itu, Mohd. Zulkifle juga mahu peneroka Felda Lembah Bilut memanfaatkan Lembah Digital Bilut yang dilancarkan di kawasan mereka.
Katanya, pemilihan Felda Lurah Bilut sebagai perintis projek berkenaan adalah satu penghargaan tidak ternilai buat mereka.
“ Perdana Menteri sendiri datang ke tempat kita menyaksikan infrastruktur yang telah disediakan. Kelajuan internet di sini tak kurang hebatnya dengan kawasan bandar.
“Sekarang semuanya terserah pada kita untuk merealisasikan hasrat kerajaan bagi menambah baik nilai kehidupan kita.
“ Apalagi yang kita mahu, bersamalah kita menjayakannya,” kata Zulkifle. – MalaysiaGazette