BENTONG – Sebelum kehadiran jalur lebar berkelajuan tinggi ke Lurah Bilut, lazimnya anak-anak peneroka Felda yang tamat belajar seawal tingkatan 5 atau selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berhijrah ke Kuala Lumpur.
Menurut Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Baru, Felda Lurah Bilut, Sivakumar Manickam, 58, dengan adanya kemudahan itu setanding dengan infrastruktur di bandaraya, generasi baharu mungkin boleh melupakan hasrat untuk berhijrah semata-mata mencari pekerjaan.
Sivakumar berkata, ini kerana Lembah Digital hasil inisiatif Felda 2.0 bakal membuka pelbagai peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi bakal dinikmati komuniti di penempatan itu menjelang 2050.
“Dulu, anak-anak peneroka selepas habis belajar, di sini tiada kerja, jadi mereka terpaksa pergi ke Kuala Lumpur atau bandar-bandar besar di kawasan Selangor.
“Sekarang Lembah Digital Bilut dah buka, pemuda-pemuda yang kerja di situ (bandar) boleh datang ke sini walaupun di sini tiada kawasan industri, tapi mereka boleh buat perniagaan dalam internet.
“Sebab sekarang kita tahu perniagaan dalam internet memang maju, boleh dapat ribuan ringgit sebulan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Felda Lurah Bilut, di sini, baru-baru ini.
Katanya, keadaan infrastruktur di tanah rancangan itu jauh berbeza jika dibandingkan pada awal pembukaan penempatan itu pada 1959 hingga 1980-an dengan dunia tanpa sempadan yang bermula pada 2000.
Jelasnya, dengan peruntukan jutaan ringgit di sini, dia yakin taraf ekonomi penduduk boleh ditingkatkan, daripada bergantung kepada hasil tanaman kelapa sawit kepada sumber pendapatan alternatif iaitu perniagaan dalam talian.
“Kalau di sini nak berniaga kedai kopi pun orang tak ramai dan banyak kedai macam mini restoran atau restoran atau kedai-kedai biasa. Kalau ada pun pemuda dalam 500 hingga 600 orang sahaja.
“Saya harap penduduk sini boleh menambah pendapatan dengan pasarkan hasil kerja kraftangan, kuih-muih, bahulu dan produk makanan lain di internet.
“Bila ada kemudahan ini, mereka boleh siarkan dalam internet, dan mudah pelancong nak datang ke sini dan beli produk, pelanggan dari luar boleh telefon untuk buat tempatan. Secara tak langsung pendapatan mereka boleh bertambah,” katanya.
Dia mencadangkan pengurusan Felda menyediakan kemudahan lain untuk menerima kedatangan pelancong yang ramai dalam satu-satu masa.
“Kalau nak tarik pelancong ke sini, kita mesti ada rumah rehat, mesti ada tempat-tempat boleh mandi-manda, ramai orang suka macam itu, kalau kita tengok di tepi lebuh raya ada tempat mandi seperti di Lentang.
“Di sini ada sungai besar, kita kena buat di situ juga, buatkan restoran, buat tempat mandi
“Jadi kita sebarkan di internet supaya orang luar tahu tempat di sini cantik dan ada bermacam makanan, jadi pelancong boleh datang ke sini,” katanya. – MalaysiaGazette.