Home Utama Ada ‘muslihat’ besar dalam projek terowong dasar Guan Eng

Ada ‘muslihat’ besar dalam projek terowong dasar Guan Eng

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memukul gong menandakan perasmian Persidangan Padanan Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia-China di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Syarikat pembinaan, China Railway Construction Corporation Ltd (CRCC) dari China yang terlibat dengan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang disahkan bukan pemegang saham seperti yang didakwa oleh Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Presiden MCA merangkap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai kepada media sebentar tadi selepas beliau mengadakan pertemuan dengan pemilik syarikat CRCC di Beijing minggu lepas.

Menurut Tiong Lai, pihaknya diberitahu oleh CRCC, mereka tidak pernah dan bukan pemegang sebarang ekuiti dalam syarikat khas (Special Purpose Vehicle – SPV) seperti didakwa Guan Eng sebelum ini dalam projek pembinaan terowong dasar laut bernilai hampir RM6 bilion.

“Saya diberitahu oleh peneraju utama CRCC, mereka tidak tahu menahu tentang sebarang pemilikan ekuiti seperti yang didakwa malah mereka juga tidak pasti mengapa kerajaan Pulau Pinang tanpa mendapatkan apa-apa persetujuan daripada mereka dalam perkara ini.

“CRCC berkata mereka hanya menandatangani pengiktirafan komitmen sebagai lampiran kepada perjanjian awal terowong bawah laut dan tiga projek jalan utama. Itu sahaja.

“Menurut CRCC, mereka tidak memberi kelulusan dan langsung tidak tahu kenapa kerajaan Pulau Pinang telah menganggap mereka sebagai pemegang saham SPV,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Padanan Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia- China di Berjaya Times Square di sini hari ini.

Tambah Tiong Lai, pihaknya kini bertambah yakin ada ‘muslihat’ tersembunyi yang sedang disembunyikan berikutan isu pembinaan terowong dasar laut itu.

“MCA melalui timbalan saya, Datuk Seri Wee Ka Siong sudah beberapa kali menyoal tentang persoalan-soalan ini namun jawapan yang kita dapat sangat mengecewakan walhal kerajaan DAP begitu bermegah dengan prinsip ketelusan.

“Kita bukan berniat untuk sabotaj projek ini yang pastinya akan juga membawa manfaat kepada rakyat jelata. Apa yang kita ingin tahu mengapa berbelanja dengan luar biasa untuk bayaran pembinaan dan bayaran konsultan? Rakyat juga keliru. Guan Eng perlu perbetulkan semua ini, jangan cuba ‘bodohkan’ rakyat,” tegasnya.

Guan Eng pada 2013 telah mendakwa syarikat pembinaan terkenal China itu adalah pemegang saham dan kontraktor utama bersama-sama dengan Konsortium Zenith-BUCG Sdn Bhd.

Dalam lidah rasmi kerajaan DAP, Buletin Mutiara telah dinyatakan CRCC dan Beijing Urban Constructions Group (BUCG) menyertai SPV dengan nilai hampir RM6.43 bilion pada 2013.

Laporan itu menyatakan, CRCC bersama Zenith Contructions Sdb Bhd membentuk gabungan pemegang saham terbesar sebanyak 70 peratus dengan modal berbayar berjumlah RM4 bilion dan RM3.5 juta.

Dalam pada itu, baru-baru ini Guan Eng mengakui kerajaan DAP Pulau Pinang ‘was-was’ sama ada projek terowong dasar laut akan diteruskan seperti dirancang kerana kononnya disabotaj oleh Barisan Nasional (BN).

Projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya yang dirancang kerajaan DAP Pulau Pinang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dikaitkan dengan pelbagai kontroversi khususnya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan projek tersebut. – MalaysiaGazette