KUALA LUMPUR – Pembangunan semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan menjadi agenda utama yang akan dibawa Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam Forum Bandar Sedunia Ke-9 (WUF) kali ini, kata Tan Sri Noh Omar.
Noh berkata, sudah sampai masa sebuah perbadanan dan undang-undang baharu diperkenalkan bagi memudahkan proses membangunkan semula PPR dan flat yang sudah berusia supaya nampak lebih teratur dan moden.
“Ada lapan teras agenda utama yang akan dibawa KPKT, tapi isu perumahan sudah sampai masa kita kena ada perbadanan atau undang-undang untuk kita buat redevelopment (pembangunan semula) seperti rumah flat dan PPR yang dibina sejak 25 tahun lalu yang tidak sesuai sekarang ini… seperti Kerinchi Residensi dan Razak Mansion.
“Mungkin sampai masa tubuh perbadanan atau undang-undang untuk susun semula rumah yang sesuai dengan TN50 nanti,” katanya semasa ditemui wartawan selepas majlis penyerahan cek penaja WUF di KLCC hari ini.
Sempena forum ini juga, Noh juga berharap peserta dapat menggunakan platform tersebut untuk membincangkan isu perbandaran dan membina kerjasama rakan kongsi dengan negara lain bagi bertukar-tukar pandangan.
“Saya berharap mereka dapat bincang mengenai isu perbandaran dan urbanisasi, saya harap mereka yang terlibat dalam proses mungkin dapat menjalin rakan kongsi dengan negara lain.
“Saya harap dapat capai matlamat dan dapat perhatian peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Noh memberitahu sebanyak 100 tapak pameran disediakan dalam forum kali ini dan 48 daripadanya adalah peserta luar negara.
Bagi forum kali ini, KPKT mendapat sumbangan penaja berjumlah RM2.7 juta yang diperoleh daripada 22 korporat dan syarikat pemaju.
Malaysia diberikan penghormatan mengajurkan forum kali ini dan merupakan negara Asia kedua terpilih, ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Program tujuh hari bermula 7 hingga 13 Februari ini menyaksikan Kuala Lumpur bakal menjadi bandar kedua di Asia sebagai tuan rumah WUF 9 selepas Nanjing, China pada tahun 2008.
WUF adalah forum teknikal bukan perundangan yang diadakan di bandar berbeza setiap dua tahun dan menjadi acara antarabangsa utama bagi bertukar pandangan serta pengalaman mengenai cabaran perbandaran. – MalaysiaGazette