Home Nasional Jangan tertipu dengan produk makanan tambahan

Jangan tertipu dengan produk makanan tambahan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S.Subramaniam berucap pada Majlis Pelancaran Minggu Kanser Sedunia di Shantanand Auditorium, Temple of Fine Arts, Brickfields, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terpengaruh dengan penjualan produk makanan tambahan yang kononnya mempunyai kelebihan mengurangkan risiko penyakit kanser.

Menterinya Datuk Sri Dr S. Subramaniam berkata pengguna perlu bijak menilai produk yang dijual di pasaran berbanding perubatan saintifik yang diiktiraf dan selamat untuk dimakan.

“Suplemen untuk cara hidup yang sihat tiada masalah tetapi ambil suplemen kerana ia akan mengurangkan risiko Kanser, itu satu perkara yang tidak digalakkan kerana dalam sesuatu ubat itu ada perakuan bahawa vitamin atau suplemen boleh mengurangkan kanser,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Minggu Kanser Sedunia 2018 di Temple of Fine Arts di Brickfields.

Menurut Subramaniam lagi, KKM hanya melulus dan mendaftarkan ubat-ubatan yang mempunyai bukti dari sudut saintifik.

“Kemudian farmasi kami tidak akan mendaftarkan produk berkenaan kerana perakuan berkenaan. Jika mereka mahu mendaftarkan produk, mereka perlu kemukakan bukti perakuan berkenaan. Kalau mereka tidak boleh berikan bukti sains, jadi kami tidak akan benarkan pendaftaran produk berkenaan,” tambahnya.

Beliau dalam masa yang sama juga berharap agar pengeluar produk dalam negara mematuhi peraturan khususnya yang melibatkan kesihatan dan keselamatan.

“Namun, di luar, mungkin mereka masih ramai yang menjual produk ini dan mendakwa ada perakuan (mampu kurangkan risiko kanser).

“Jadi sangat penting pengguna dapat mengenal pasti produk ini melainkan ada doktor perubatan sendiri yang mengesahkan produk berkenaan mampu mengurangkan risiko berkenaan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette