KUALA LUMPUR – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) merekodkan nisbah hutang tidak berbayar (NPL) hanya sebanyak 1.3 peratus sekaligus menunjukkan golongan wanita adalah pembayar hutang terbaik.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr. Zubir Harun berkata, AIM mempunyai 324,000 orang ahli di seluruh negara yang dikenali sebagai Sahabat AIM dengan 99 peratus daripadanya adalah wanita.
Menurut beliau, prestasi baik AIM itu membolehkan organisasi berkenaan menerima pengiktirafan dunia selama lima tahun berturut-turut.
Prestasi itu hasil daripada sikap bertanggungjawab peminjam AIM dalam membayar hutang dan kakitangan AIM yang berdedikasi mengutip hutang.
Katanya, AIM yang ditubuhkan sejak 30 tahun lalu berjaya mengubah nasib keluarga terutama dari golongan miskin kepada kehidupan lebih baik melalui pelbagai skim pembiayaan untuk perniagaan yang ditawarkan.
“Melalui pinjaman yang disediakan oleh AIM, peminjam-peminjam dapat menjalankan perniagaan hingga membaiki kualiti hidup diri dan keluarga Sahabat AIM,” katanya ketika berucap di Himpunan Usahawan Sahabat Ikhtiar di sini hari ini.
Penasihat Pembangunan Keusahawan Iktisas Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Pusat.
Zubir seterusnya berkata, AIM berterima kasih kepada kerajaan kerana tidak pernah meminggirkan organisasi itu dalam pembentangan bajet setiap tahun.
Pada Bajet 2018, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta kepada AIM. – MalaysiaGazette