Home Dunia Pesawat Korea Selatan tergelincir, terbakar di Changi

Pesawat Korea Selatan tergelincir, terbakar di Changi

KUALA LUMPUR – Sebuah pesawat Korea Selatan yang mengambil bahagian dalam pertunjukan udara Airshow Singapore 2018 tergelincir dan terbakar semasa hendak berlepas di Lapangan Terbang Changi, Singapura kira-kira pukul 1.30 tengahari tadi.

Pesawat itu yang merupakan sebahagian daripada pasukan aerobatik Korea Selatan, The Black Eagles, tergelincir di atas rumput di sebelah landasan 1 sebelum terbakar, lapor The Star Online.

Perkhidmatan kecemasan lapangan terbang memadamkan api dan juruterbang berjaya menyelamatkan diri dengan hanya mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan, pesawat itu terbalik selepas tayarnya pecah ketika kejadian berlaku.

Kenyataan dari Kumpulan Penerbangan Lapangan Terbang Changi di halaman Facebooknya berkata, landasan 1 tempat insiden berlaku kini ditutup sehingga notis baru dikeluarkan.

Ia kemudian menyatakan beberapa penerbangan berlepas dan ketibaan akan ditangguhkan selama beberapa jam akan datang ekoran kejadian itu. – MalaysiaGazette