KUALA LUMPUR – Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) yang diperuntukan kepada masyarakat India mendapat sambutan luar dugaan.
Saham amanah yang dilancarkan pada 29 Januari lalu mencatatkan pelaburan sebanyak RM180 juta dalam tempoh tiga hari selepas ia dilancarkan.
Presiden MIC, Datuk Seri Dr. Subramaniam berkata, beliau teruja dengan sambutan tersebut walaupun pada awalnya terdapat segelintir pihak yang cuba sabotaj usaha tersebut dengan memberi gambar buruk mengenainya.
Tambah beliau, kempen serta promosi berkaitan AS1M hasil inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus dilakukan bagi menarik pelabur India melabur dalam skim tersebut.
“Saya sebenarnya terkejut dan teruja dengan sambutan luar biasa daripada masyarakat kita dalam AS1M. Jumlah pelaburan dalam tempoh tiga hari sangat memberangsangkan.
“Keyakinan saya terhadap skim ini bertambah malah kita akan terus memperhebatkan usaha dalam promosi serta kempen. Saya masih lagi menunggu maklumat terkini AS1M tetapi melihat kepada jumlah pelaburan yang dicatatkan,” ujarnya selepas melancarkan Program Jelajah Pendidikan ‘Malaysian Indian Education Roadshow’ (MINDER 4.0) di sini hari ini.
Yang turut hadir pada pelacaran itu adalah Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Seri P. Kamalanathan dan Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri SK Devamany.
Pengagihan 1.5 bilion unit tambahan AS1M untuk masyarakat India, terhad kepada 30,000 unit untuk setiap pelabur mula dibuka sejak 29 Januari ini.
Inisiatif itu dijangka dimanfaatkan kira-kira 50,000 masyarakat India di negara ini.
Selain AS1M, kerajaan juga menyediakan peruntukan pembiayaan khas sebanyak RM500 juta bagi tempoh lima tahun dalam bentuk skim pinjaman tanpa faedah kepada golongan B40.
Sementara itu, Kamalanathan ketika mengulas tentang program jelajah pendidikan MINDER berkata, seramai 16,000 pelajar telah menerima manfaat daripada inisiatif tersebut antara 2015 hingga tahun lepas.
“Tahun ini, kita akan menjelajah sekurang-kurangnya 30 buah lokasi termasuk kawasan pedalaman yang mempunyai sasaran pelajar India yang ramai supaya dapat memberi peluang untuk memahami dasar pendidikan kerajaan.
“Sebenarnya saya cukup teruja kerana sehingga kini, kita sudah menemui hampir 16,000 pelajar di 45 lokasi dan tahun ini kita jangka akan mengadakan pertemuan dengan lebih 5,000 orang di 30 lokasi seluruh negara sepanjang tahun,” ujarnya. – MalaysiaGazette