KUALA LUMPUR – Hasrat Malaysia menuntut semula hak ke atas Pulau Batu Puteh daripada Singapura sejak kebelakangan ini disokong oleh ramai pihak.
Ia termasuklah pengkaji sejarah, Dr. Ibrahim Ghaffar yang merupakan individu yang pernah ‘berjuang’ menuntutnya sejak dahulu lagi.
Walaupun menyifatkan tindakan terkini itu ‘masih belum terlambat walaupun terlewat’, Ibrahim menaruh harapan penuh usaha itu berjaya.
Malah beliau mendakwa usaha itu telah mendapat ‘restu’ daripada pahlawan Melayu terbilang, Hang Tuah.
“Saya ada jumpa Laksamana (Hang Tuah) di Bukit Jugra, Banting baru-baru ini dan beliau telah memberi keizinan (berkaitan tuntutan Pulau Batu Puteh),” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Gazette hari ini.
Menurutnya, pertemuan itu dalam ‘alam lain’ kerana pahlawan Melaka itu sudah meninggal dunia sejak ratusan tahun dahulu lagi.
Sebelum itu, Ibrahim yang juga pakar salasilah keturunan raja itu mendakwa pernah diberi mandat oleh Hang Tuah untuk menuntut pulau yang sama.
Malah beliau telah diberi dokumen cap mohor Queen Elizabeth dan watikah sebagai ‘senjata’ utama menuntut Pulau Batu Puteh.
“Ketika itu, saya menulis surat panjang lebar kepada Perdana Menteri ketika itu, Pak Lah (Tun Abdullah Badawi) dengan syarat bukti itu perlu dibawa bersama saya ke Hague tetapi Pak Lah tidak ada respon,” ujarnya lagi.
Selepas gagal, Ibrahim telah menyerahkan semula dokumen itu kepada yang berhak.
Ditanya mengenai usaha tuntutan itu diadakan semula, beliau berkata, kemungkinan bukti itu diserahkan kepada pihak Istana Johor melalui Pawang Diraja untuk memudahkan usaha tuntutan semula dilakukan.
“Ia mungkin ada kaitan kerana baru-baru ini dalam ‘pertemuan’ dengan Hang Tuah di Banting, saya ada bertanya dan dia (Hang Tuah) berkata, sudah diberi keizinan tetapi tidak mengulasnya lanjut,” katanya.
Menurutnya, sekiranya tidak ada usaha kerajaan, Ibrahim sudah bertekad untuk memfailkan kaveat kepada kerajaan Singapura berhubung isu Pulau Batu Puteh sebagai jalan terakhir.
“Saya sudah jumpa peguam dan sebagai rakyat Malaysia saya ada hak ke atas tujuh sentimeter tanah di pulau berkenaan selepas dibahagi keluasan pulau itu dengan jumlah rakyat Malaysia,” katanya.
Pulau Batu Putih yang terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh, Johor itu memang hak Malaysia sejak dahulu lagi, katanya.
Sementara itu, penemuan beberapa ‘fakta baharu’ mendorong Malaysia menuntut semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Pedra Branca atau nama lain kepada Pulau Batu Puteh itu.
ICJ berkata, dokumen itu termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian yang difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an.
Dokumen berkenaan ditemukan di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017.
Dalam masa yang sama, Sultan Johor pun mahu kerajaan berbuat demikian dan Ketua Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sendiri akan mengetuai rombongan ke Hague untuk tujuan yang sama.
“Malaysia juga berhujah bahawa kegagalannya menyedari kewujudan fakta baharu itu bukanlah disebabkan kecuaian, tetapi kerana dokumen berkenaan merupakan dokumen sulit yang tidak boleh dicapai pihak awam, sehinggalah ia dikeluarkan UK National Archives,” kata kenyataan ICJ.
Apa pun, moga-moga usaha Malaysia menuntut semula hak Pulau Batu Putih akan berjaya.-MalaysiaGazette