KUALA LUMPUR – Sejak ‘penampilan’ sulungnya pada 5 November lalu, bekas Naib Presiden MIC, Datuk S. Sothinathan hari ini dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti.
Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam yang mengesahkan perkara itu berkata, pelantikan Sothinathan itu adalah mesej rekonsiliasi berakhirnya konflik yang melanda parti itu sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun, Sothinathan yang menghadiri mesyuarat pertamanya hari ini tidak kelihatan semasa sidang media Subramaniam sekitar 6 petang tadi.
“Bukan senang untuk menyatukan ahli parti yang melalui konflik dalaman sejak dua tahun lepas.
“Kita sebuah parti yang mewakili komuniti kecil di negara ini dan sedang dalam proses menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijangkakan lebih mencabar.
“Untuk menang besar, kita memerlukan penyatuan dan pengukuhan dalam kalangan ahli parti dan kepimpinan secaa keseluruhannya.
“Jadi dengan pelantikan dia (Sothinathan), saya harap ia memberi mesej konsiliasi kepada semua ahli parti supaya terus bekerjasama ke arah penyatuan parti di semua peringkat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat CWC hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan pula dilantik sebagai ahli CWC oleh Subramaniam selepas bekas Naib Presiden MIC itu tewas dalam merebut jawatan nombor dua dalam parti kepada Datuk Seri S.K.Devamany dalam pemilihan parti pada Oktober lalu.
Dalam perkara berkaitan, Subramaniam berkata, walaupun pelantikan Sothinathan boleh membawa kontroversi dan ada yang sukar untuk menerimanya namun ia perlu diteruskan demi kebaikan parti dan BN.
Selain pelantikan Sothinathan, beberapa pelantikan susulan di peringkat bahagian dan negeri akan dibuat apabila ada keperluan, katanya.
Dalam pekembangan sama, beliau menjelaskan, hampir keseluruhan Ketua Cawangan MIC yang berada di luar parti sebelum ini telah kembali semula atas dasar semangat penyatuan parti.
“Semua cawangan MIC termasuk yang kembali bersama kita sudah menjelaskan yuran tahunan seperti yang diwajibkan parti dan kini kita mempunyai sebanyak 3900 Cawangan dengan ahli seramai lebih 400,000 orang di seluruh negara.
“Penyertaan semula Sothinathan dengan kita juga menandakan berakhirnya segala krisis yang menghantui parti selama ini, saya mengharapkan kerjasama jitu daripada semua pemimpin semua peringkat parti selepas ini,” tegasnya lagi – MalaysiaGazette