KUALA LUMPUR – India akan menjadi pasaran yang besar bagi syarikat penerbangan bajet jarak jauh, AirAsia X, yang baru sahaja melancarkan laluan Kuala Lumpur-Jaipur, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.
Beliau juga membayangkan Amritsar akan menjadi destinasi seterusnya syarikat penerbangan tersebut.
“Semalam kami melancarkan Jaipur. Dan @Beenaminismail berada di Amritsar hari ini. Laluan yang ramai meminta kami lakukan. India akan menjadi pasaran besar untuk Airaisa X,” katanya dalam laman Twitternya.
Benyamin ialah Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia.
“Amat bangga dengan pemulihan yang berlaku di AirAsia X. Kita perlu menyelesaikan pembersihan kunci kira-kira pada suku keempat, tetapi kita akan mempunyai tahun yang baik pada 2018,” kata Fernandes.
Menurut beliau, Thai AirAsia X juga berkembang pesat.
“Kami mengambil nilai yang sangat baik (Airbus) 330 untuk mengisi kapasiti kami sebelum beralih ke pesawat generasi akan datang, sama ada Airbus 330 neo atau Boeing 787. Saya amat yakin dengan AirAsia X,” tambahnya.
Secara keseluruhan, Fernandes berkata, ia akan menjadi tahun yang baik untuk industri penerbangan kos rendah.
“Ringgit semakin kukuh dan harga minyak menurun sebagaimana kami ramalkan. Terlalu banyak minyak dan dengan shal, permintaan terhadap minyak akan terus merosot,” katanya.
Pada jam 9 pagi, ringgit dibuka lebih tinggi kepada 3.8970/9000 berbanding dolar AS daripada 3.9135/9165 ketika ditutup semalam.
Ditambah dengan usaha semua kerajaan untuk membina terminal kos rendah serta persaingan yang membawa kepada rasionalisasi, “ia adalah tempoh yang baik,” kata Ferdandes. – MalaysiaGazette