PUTRAJAYA – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mempercepatkan siasatan terhadap status Mesyuarat Agung Tahunan PPBM yang didakwa ahli-ahlinya melanggar perlembagaan parti.
Timbalan Perdana Menteri berkata, RoS bukan hanya sekadar tahu memulakan siasatan, sebaliknya menyelesaikan apa yang dibangkitkan oleh ahli-ahli dalam parti tersebut yang membuat aduan kepada mereka.
“Ketua Pengarah RoS telah memulakan siasatan dan mungkin penelitian dokumen sedang diadakan. Kita minta RoS bukan hanya sekadar memulakan, malah pertingkatkan siasatan untuk memenuhi aduan berkenaan.
“Tahap kebolehpercayaan JPPM cukup tinggi dalam melakukan siasatan terhadap penubuhan badan politik,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini.
Pada 12 Januari lalu, Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim dilaporkan berkata, pihaknya sedang menyiasat lebih 400 aduan yang diterima berkaitan isu perhimpunan agung tahunan (AGM) pertama PPBM.
Beliau meminta semua pihak memberi masa kepada RoS berikutan siasatan itu perlu dijalankan secara terperinci kerana membabitkan banyak aduan.
Susulan siasatan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathit Mohamad
yang menyifatkan tindakan 400 ahli PPBM membuat laporan kepada RoS mendakwa parti itu melanggar perlembagaannya, ialah taktik kotor.
“Kita hairan kenapa 400 ahli PPBM membuat laporan sama dengan perkataan yang sama kepada RoS? Nampak ada usaha dari pihak mana untuk memberi alasan kepada RoS tidak meluluskan permohonan untuk PH (Pakatan Harapan) didaftar.”
Pada 30 Disember lalu, PPBM mengadakan AGM pertama di Shah Alam, selepas lebih setahun ia didaftarkan pada September 2016. – MalaysiaGazette