Home Dunia Atlet Iran dapat Galaxy Note 8 edisi Olimpik, Korea Utara enggan terima...

Atlet Iran dapat Galaxy Note 8 edisi Olimpik, Korea Utara enggan terima telefon pintar

GANGNEUNG, Korea Selatan – Penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang memutuskan untuk memberi telefon pintar Samsung secara percuma kepada atlet Iran tanpa mengenakan syarat untuk memulangkannya, ketika sentimen anti Samsung memuncak di Tehran.

“Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengambil keputusan membenarkan peruntukan telefon pintar Galaxy Note 8 kepada atlet Iran tanpa mengenakan sebarang syarat memulangkannya semula,” kata seorang pegawai Jawatankuasa Penganjur PyeongChang untk Sukan Olimpik dan Paralimpik 2018, lapor Yonhap.

Keputusan tersebut diambil ketika sentimen anti Samsung memuncak di Iran selepas laporan menyatakan atlet negara itu tidak boleh membawa telefon pintar ke negara-negara Timur Tengah.

Sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menghalang kemasukan barangan dan peralatan mewah ke Korea Utara dan Iran yang berpotensi digunakan untuk tujuan ketenteraan.

Samsung Electronics menyediakan 4,000 unit Galaxy Note 8 edisi Olimpik untuk diberikan kepada semua atlet dan pegawai OIC yang melawat PyeongChang. Terdapat 22 atlet Korea Utara dan empat atlet Iran bertanding pada Sukan Olimpik musim sejuk itu.

Semalam, Menteri Luar Iran memanggil Duta Korea Selatan ke Iran meminta Seoul dan Samsung memohon maaf.

Bagaimanapun atlet Korea Utara masih tidak diberikan telefon pintar itu.

Menerusi satu kenyataan yang disediakan agensi berita Yonhap, IOC berkata, ia telah meminta Korea Utara memulangkan telefon yang diberi percuma itu selepas penganjuran sukan tersebut tamat.

“Mengenai Korea Utara, semua peserta diminta tidak membawa pulang telefon itu tetapi hanya digunakan mereka semasa tinggal di PyeongChang memandangkan keperluan yang membenarkan mereka bertanding dalam sukan ini,” kata IOC.

Bagaimanapun, seorang pegawai berkata, atlet Korea Utara enggan menerima telefon pintar itu.

“Terdapat kekeliruan apabila IOC dan penganjur perlu mengkaji semula isu perundangan berhubung pemberian telefon pintar Galaxy Note 8 kepada atlet di bawah sekatan antarabangsa,” kata seotarang pegawai daripada jawatankuasa penganjur, sambil memohon maaf kepada Samsung kerana menerima tohmahan walaupun berniat baik. – Agensi