Home Utama ‘Saya tidak risau Tun M ke Bentong’ – Tiong Lai

‘Saya tidak risau Tun M ke Bentong’ – Tiong Lai

Presiden MCA, Datuk Sri Liow Tiong Lai berucap pada Majlis Persmian Belt & Road Initiative 2.0 di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 09 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau tidak cemas atau menggelabah dengan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merancang melawat kawasan Parlimen Bentong, Pahang esok.

Presiden MCA merangkap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Parlimen Bentong itu juga menegaskan, kehadiran bekas perdana menteri itu atas status sebagai pembangkang ke kawasan tersebut bukan suatu yang perlu dirisaukan beliau atau partinya.

“Dia (Tun M) memang pergi ke semua kawasan seperti yang dilakukan pemimpin pembangkang lain, dan ia adalah rutinnya yang sering kita nampak yang mana pergi mengelirukan rakyat dengan tipu muslihat politiknya.

“Saya tak perlu takut atau risau mengenai kehadirannya esok kerana sepanjang menyandang kerusi Bentong saya sudah menyediakan perkhdimatan terbaik kepada pengundi rakyat di kawasan ini secara ikhlas tanpa melihat warna kulit atau latar belakang.

“Pengundi Parlimen Bentong tahu rekod perkhidmatan saya selama ini dan sudah menilai saya selama ini dan yakin akan terus memberi mandat untuk terus berkhidmat kepada mereka selepas Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai hasrat Mahathir yang dijadualkan berkunjung ke Bentong esok untuk bertemu masyarakat setempat.

Terdahulu Tiong Lai bersama Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Duta Khas China ke Malaysia H.E Bai Tian melancarkan Inisiatif MCA Belt&Road 2.0 di Dewan San Choon, Wisma MCA.

Inisiatif tersebut merangkumi lima strategi pelaburan untuk dimanfaatkan usahawan Malaysia di China dan sebaliknya.

Menteri Pengangkutan itu berkata, menjelang PRU14, MCA sudah mengatur pelbagai strategi efektif untuk memenangi semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang ditandingi komponen BN pada PRU14.

“Kita sudah susun strategi dan akan cuba menang semua kerusi yang ditandingi pada PRU kali ini untuk memastikan parti kekal relevan sebagai suara keramat komuniti Cina dan rakyat secara umum,” katanya. – MalaysiaGazette