Home Politik Azmin akui wujud masalah pembahagian kerusi dengan PPBM Selangor

Azmin akui wujud masalah pembahagian kerusi dengan PPBM Selangor

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui wujud masalah isu pembahagian kerusi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di negeri tersebut.

Azmin berkata perbincangan masih berjalan dengan PPBM untuk menyelesaikan berhubung tuntutan kerusi oleh parti baharu yang menyertai PH itu.

“Saya yakin proses ini akan diselesaikan. Saya sudah bercakap dengan Abdul Rashid semalam dan saya ingin mengatakan PPBM akan terus berbincang.

“Saya percaya Pakatan Harapan Selangor akan meneruskan proses ini dan insyaAllah akan menyelesaikannya tak lama lagi,” beliau dipetik berkata.

Azmin juga memberitahu sudah menghubungi Pengerusi PPBM Selangor Datuk Abdul Rashid Asari semalam, selepas parti itu dilaporkan tidak mengiktiraf persetujuan yang dicapai dalam rundingan pada 7 Februari lalu.

Semalam, PPBM Selangor berkata mereka mahu bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dikuasai BN.

Maka mereka tidak gembira apabila PKR juga menunjukkan minat untuk bertanding di 12 kerusi tersebut. – MalaysiaGazette