KUALA LUMPUR – Sejak pentadbiran Malaysia diambil alih oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada 3 April 2009 hak kebebasan bersuara semakin subur di negara ini, malah tiada sekatan meskipun disalahgunakan untuk mengkritik kerajaan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Perdana Menteri lebih terbuka dalam soal itu, malah amalan demokrasi itu lebih baik berbanding pendekatan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika memerintah negara.
“Dulu zaman dia (Mahathir) lagi kuku besi, dia gunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menangkap sesiapa yang menetang dia.
“Sekarang (zaman Najib) kita sudah bebas, kita ada kebebasan (bersuara), tapi apa yang kita buat sekarang (Akta Berita Palsu), beliau akan cuba putar belit untuk mengkritik kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR UC) di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mahathir selaku pengerusi Pakatan Harapan pada Rabu yang mendakwa pengenalan akta berita palsu boleh menyekat kebebasan rakyat bersuara dan mengkritik kerajaan secara terbuka.
Tiong Lai berkata, sekiranya Akta Berita Palsu itu diluluskan, beliau memberi jaminan ia tidak akan menyekat kebebasan bersuara khususnya berkongsi pandangan di laman sosial.
“Tiada sekatan kebebasan bersuara, rakyat bebas berucap, bebas untuk mengkritik kerajaan tapi kena ada asas, tidak boleh hentam membuta-tuli,” ulasnya.
Beliau berkata lagi, Mahathir melakukan penafsiran tidak betul tentang fungsi cadangan akta baharu itu kerana ia semata-mata untuk memastikan semua pihak bertanggungjawab terhadap berita yang ditularkan kepada umum.
“Orang yang menularkan itu perlu bertanggungjawab, kita perlukan kawalan lebih rapi agar semua berita palsu tidak akan menyinggung perasaan dan menimbulkan isu dalam masyarakat hingga mengganggu isu-isu pembangunan negara.
“Ia tidak menyekat sesiapa berceramah dan mengeluarkan idea. Apabila kita buat cadangan itu, memang boleh (bebas bersuara) tapi janganlah keluarkan berita palsu, jangan cuba ungkit isu-isu sensitif dan tidak berasas,” katanya.
Tambahnya, tanpa Akta Berita Palsu, perpaduan dan keharmonian yang dinikmati masyarakat majmuk pada hari ini akan lenyap, sekali gus menghancurkan negara ini.
“Kalau kita biarkan orang-orang yang tidak bertanggungjawab mempermainkan isu-isu sensitif, dan menularkan perkara-perkara yang palsu, ia akan memburukkan keadaan.
“Ini kerana laman sosial sekarang ini cukup hebat, maka ia akan menyulitkan lagi keharmonian dan pembangunan negara,” katanya. – MalaysiaGazette