KUALA LUMPUR – Juara Liga Super sebanyak empat kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan pelantikan ketua jurulatih penjaga gol yang baharu dari Sepanyol, Orkatz Martin Egana.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards melalui laman facebook rasmi JOHOR Southern Tiger (JST).
“Beliau akan melatih penjaga gol JDT dan juga semua jurulatih penjaga gol di JDT. Beliau berasal dari Sepanyol dan melatih kelab Athletic Club Bilbao yang melahirkan ramai penjaga gol berkualiti dan berbakat.
“Ini adalah sebahagian daripada projek jangka panjang kami dan kami gembira beliau ada bersama dalam barisan kejurulatihan kelab kami,” kata Alistair Edwards.
JDT kini mempunyai tiga penjaga gol yang berpengalaman di peringkat antarabangsa iaitu Izham Tarmizi, Haziq Nazli dan Farizal Marlias.
Haziq Nazli yang mempamerkan prestasi cemerlang ketika mewakili skuad Malaysia Bawah 23 Tahun di Kejohanan AFC B-23 di China baru-baru ini bakal memberikan persaingan yang sengit kepada Izham Tarmizi yang sering menjadi pilihan untuk berada dalam kesebelasan utama.
Farizal Marlias akan kembali beraksi minggu depan setelah dikenakan hukuman perggantungan oleh pihak AFC atas kesalahan yang beliau lakukan ketika Piala AFC tahun lalu.
Kesalahan itu berlaku ketika perlawanan menentang Ceres Negros apabila Farizal berang terhadap pengadil perlawanan.
Hukuman yang bermula pada 9 Jun lalu hingga 9 Jun ini telah dipendekkan kepada lapan bulan sahaja selepas Farizal dan pihak JDT sendiri melakukan rayuan kepada hukuman tersebut.
Pihak AFC menerima rayuan tersebut dan tempoh perggantungan Farizal kini hanya sehingga 9 Februari lalu.
Namun begitu, AFC memberi peringatan seandainya Farizal menerima kad merah dalam tempoh empat bulan sehingga 9 Jun ini maka perggantungan akan diteruskan secara automatik. – MalaysiaGazette